Paramount Corporation diunjur jana pendapatan lebih RM1 bilion bagi FY23 – TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Paramount Corporation diunjur jana pendapatan lebih RM1 bilion bagi FY23 – TA Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mac - TA Securities unjur pendapatan Paramount Corporation Berhad melebihi RM1 bilion buat kali pertama bagi tahun kewangan 2023 (2023) dengan jangkaan kumpulan akan turut mencatat pencapaian baharu.

 

Firma penyelidikan itu mengulangi keyakinan terhadap pertumbuhan pendapatan kumpulan pada tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25), bersandarkan rekod jualan belum dibilkan sebanyak RM1.4 bilion, jualan hartanah yang berterusan kukuh dan penambahan semula bank tanah yang dipercepatkan.

 

“Kami menyemak semula andaian jualan FY23-25 kami lebih tinggi masing-masing sebanyak 4%, 6% dan 9% kepada RM1.25 bilion, RM1.35 bilion dan RM1.45 bilion daripada RM1.2 bilion, RM1.27 bilion dan RM1.33 bilion sebelum ini,” katanya dalam nota hari ini.

 

Andaian pengebilan kemajuannya juga disemak semula dan menyelaraskan ramalan pendapatan FY23-25 lebih tinggi masing-masing sebanyak 16%, 13% dan 15%.

 

"Pengurusan optimis terhadap prospek pasaran dan telah menetapkan sasaran jualan FY23 yang lebih tinggi sebanyak RM1.2 bilion memandangkan mereka mempunyai tujuh pelancaran baharu, termasuk fasa baharu projek sedia ada, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.5 bilion, serta projek lain yang sedang dijalankan," katanya.

 

Di samping itu, kumpulan tersebut merancang memperkembangkan perniagaannya dalam segmen hartanah perindustrian di utara dengan Paramount Palmera, sebuah pembangunan industri ringan pegangan bebas di Seberang Perai yang akan menyumbang 11% daripada sasaran pelancaran RM1.5 bilion tahun ini, dengan potensi nilai pembangunan kasar (GDV) RM157 juta dalam tempoh pembangunan selama tiga tahun.

 

Dari segi strategi perbankan tanah, kumpulan itu akan menambah simpanan tanahnya berhampiran perbandaran sedia ada, membolehkan kumpulan mencapai pemulihan yang cepat, di mana pada 31 Disember 2022, ia telah mempunyai simpanan tanah seluas 566 hektar.

 

“Dengan anggaran GDV sebanyak RM8 bilion dengan jualan yang tidak dibilkan RM1.4 bilion yang menyediakan keterlihatan aliran tunai untuk dua hingga tiga tahun akan datang, kami berpendapat bahawa kumpulan itu akan menghadapi sedikit kesukaran untuk mempercepatkan pemacu pengembangannya,” jelasnya.

 

Pihak pengurusan menjangkakan bahagian ‘co-working’ akan memperoleh keuntungan tahun ini, memandangkan ekonomi Malaysia kian pulih dan kumpulan itu telah menyaksikan lonjakan semula permintaan selepas pandemik disebabkan fleksibiliti dan kesesuaiannya untuk keperluan ruang kerja yang berbeza.

 

“Peningkatan ketara dalam keputusan suku tahunan terkini adalah bukti perkara ini, dengan kerugian sebelum cukai bahagian ‘co-working’ mengecil kepada RM114,000 pada suku keempat tahun lalu berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM4.1 juta yang dicatatkan pada FY21, tidak termasuk kerugian rosot nilai RM4.6 juta,” katanya yang percaya pemulihan boleh berlaku.

 

Firma tersebut mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada 95 sen sesaham. -DagangNews.com