KUALA LUMPUR 17 Feb - Kehadiran Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan pada Pameran Aero India 2023 memberi peluang beliau meninjau lebih dekat industri pertahanan negara itu selain mengeratkan hubungan sedia ada.
Aero India 2023 yang berlangsung bermula 13 hingga 17 Februari di Stesen Tentera Udara di Yelahanka, Bangalore merupakan antara pameran aeroangkasa terbesar dunia.
Mohd Asghar Khan dan delegasi antara tetamu kenamaan yang dijemput untuk menghadiri majlis pembukaan rasmi pameran tersebut yang disempurnakan Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Pada masa sama, kehadiran beliau juga bagi memanjangkan jemputan kepada pihak industri pertahanan India bagi menyertai Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23).
Berada di negara pengeluar pesawat tempur ringan (LCA) Tejas memberikan peluang terbaik kepada beliau melawat ke kilang pembuatan pesawat Hindustan Aeronautics Limited (HAL) di selatan India.
Ini merupakan kunjungan pertama PTU bersama delegasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke kilang pembuatan pesawat tersebut yang mana Tejas turut bersaing dalam program perolehan LCA TUDM.
Beliau turut menaiki kokpit Tejas untuk melihat lebih dekat peralatan yang terdapat di dalam pesawat pejuang itu.

Semasa lawatan, pegawai HAL turut menyampaikan taklimat mengenai kompleks tersebut serta kemudahan pengeluarannya.
Program pesawat Tejas yang dibangunkan India bermula 1980 bagi menggantikan MiG-21 dengan rancangan membina sehingga 300 buah pesawat.
Tentera Udara India mengoperasikan kira 40 buah pesawat ini yang mendapat status operasi tiga tahun lalu.
Sehari sebelumnya, PTU mengadakan perbincangan dengan pegawai HAL mengenai perkhidmatan penyelenggaraan pesawat pejuang Sukhoi SU-30 buatan Rusia yang digunakan TUDM.
HAL telah membina lebih 200 pesawat Sukhoi SU-30MKI pelbagai fungsi menggunakan lesen daripada United Aircraft Corporation (UAC) Rusia.
Walaupun kunjungan PTU bukan untuk memuktamadkan calon pesawat LCA TUDM, namun ia menarik perhatian pemerhati pertahanan tempatan.
Ini kerana HAL sebelum ini membayangkan sukar untuk memenangi perolehan tersebut berikutan tiada sebarang permohonan diterima daripada Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef).
Kontrak perolehan 18 buah pesawat LCA bernilai RM4 bilion ini cukup penting pada HAL khususnya India bagi menembusi pasaran eksport pertahanan.
Sepertimana dalam beberapa perolehan lain, terdapat pelbagai timbal balas termasuk tawaran ekonomi lain disyaratkan bersama sebagai satu pakej antara negara pembeli dan penjual.
Begitu juga bagi perolehan LCA ini apabila tender tersebut turut membabitkan pembayaran menggunakan komoditi iaitu minyak sawit atau produk setara.
Ketika ini India merupakan negara pengimport terbesar minyak sawit Malaysia.

India mengimport sebanyak 376,612 tan minyak sawit dari Malaysia pada Januari, mewakili 68% daripada jumlah komoditi itu.
Mengikut data, daripada kira-kira 1.25 juta tan jumlah minyak makan yang diimport negara itu, 44% daripadanya ialah minyak sawit.
Faktor ini juga dilihat memberi kelebihan dalam pakej tawaran India, malah negara itu juga bersedia untuk meningkatkan jumlah import minyak sawit Malaysia.
Kemungkinan Tejas dipilih tidak mustahil kerana sebarang penilaian adalah ditentukan oleh pengguna akhir iaitu TUDM selain kemampuan kantung wang negara.
Selagi tiada pengumuman rasmi berhubung calon pesawat LCA TUDM, peluang pada semua pesaing masih terbuka. - DagangNews.com








