Pakej Auto Rahmah Proton 2023 bantu ringankan beban kos penyelenggaraan kereta - MITI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pakej Auto Rahmah Proton 2023 bantu ringankan beban kos penyelenggaraan kereta - MITI

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 April - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melancarkan Pakej Auto Rahmah 2023 yang bertujuan untuk meringankan beban rakyat dari segi kos penyelengaraan kenderaan, terutamanya di musim perayaan Aidilfitri yang bakal tiba. 

 

MITI dalam kenyataan berkata, ia adalah sambutan kepada aspirasi Program Payung Rahmah kerajaan untuk meringankan beban rakyat dari pelbagai aspek kos sara hidup.

 

Di bawah pakej tersebut katanya, pelbagai barangan dan perkhidmatan dengan harga diskaun ditawarkan melalui 248 pusat servis Proton di seluruh Malaysia.

 

"Perkhidmatan dan diskaun tersebut meliputi pemeriksaan keselamatan kenderaan secara percuma, diskaun sebanyak 25% bagi minyak separa sintetik, diskaun 10% bagi penapis minyak dan gasket, serta diskaun RM20 untuk upah buruh.

 

"Harga Pakej Auto Rahmah Proton 2023 yang ditawarkan ialah RM150, iaitu dengan diskaun keseluruhan sebanyak 25% berbanding harga asal RM202.23, dan tawaran ini dibuka dari 12 April hingga 31 Mei 2023," katanya.

 

Terdahulu, Pakej Auto Rahmah Proton 2023 dilancarkan oleh Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Proton Jewel Sonic Sdn Bhd, IOI City Mall, Putrajaya, hari ini.

 

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pemilikan kenderaan kini merupakan keperluan asas penting untuk rakyat. 

 

 

zafrul
                                                         Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

 

Justeru katanya, kos berkaitan pemilikan kenderaan seperti pinjaman, perbelanjaan minyak kenderaan, tol dan penyelenggaraan merupakan antara komponen utama perbelanjaan isi rumah rakyat Malaysia.

 

"Terima kasih kepada Proton kerana pantas menyambut seruan ini dengan menawarkan diskaun bagi penyelenggaraan kenderaan, dan pemeriksaan keselamatan kenderaan secara percuma di pusat-pusat servis rasminya melalui Pakej Auto Rahmah Proton 2023. 

 

"Yang penting, kesemua ini menyumbang kepada keselamatan nyawa pemilik kereta dan keluarga tersayang, terutamanya di dalam musim perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi," katanya.

 

 

proton

 

 

Model-model Proton yang layak untuk memanfaatkan Pakej Auto Rahmah Proton 2023 ialah Persona, Iriz, Exora, Saga, Inspira, Waja dan Wira.

 

Perincian mengenai pakej tersebut boleh diperolehi menerusi laman web https://www.proton.com. - DagangNews.com