KUALA LUMPUR 6 Julai - Kenanga Research mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap Gas Malaysia Bhd. dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM3.40 daripada RM3.10 sebelum ini.
Malah, firma itu turut menaikkan unjuran untung bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY23 sebanyak 15 hingga 23%.
Katanya, ini berikutan anggaran margin yang lebih tinggi sebanyak RM2.60/mmbtu daripada sebelum itu, RM2.50/mmbtu-RM2.40/mmbtu.
"Kami kekal optimis terhadap prospek hasil Gas Malaysia memandangkan jangkaan pendapatan kukuh untuk 3 tahun seterusnya disokong oleh margin runcit yang menggalakkan hasil daripada perjanjian yang lebih baik dalam rundingan semula kontrak.
"Dengan pembukaan semula ekonomi, pertumbuhan volum kembali kepada landasannya seperti yang kami anggarkan 3% setahun, justeru, kami mengekalkan pandangan 'outperform' ini dengan purata hasil dividen melebihi 7%," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, untung bersih Gas Malaysia meningkat 64.15% kepada RM91.32 juta daripada RM55.63 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu didorong keuntungan kasar yang lebih tinggi, perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah dan sumbangan lebih tinggi daripada syarikat usaha sama.
Pendapatan pada suku berkenaan juga meningkat 54.78% kepada RM1.78 bilion berbanding RM1.15 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.
Menurut Kenanga Research, seperti yang dilihat pada suku pertama, liberalisasi pasaran mungkin bukan perkara yang buruk bagi Gas Malaysia kerana ia berjaya meningkatkan keuntungannya berdasarkan strategi penetapan tarif untuk meningkatkan margin runcit.
"Di samping itu, apabila harga gas kekal tinggi, margin runcit yang berdasarkan harga jualan gas juga akan kekal tinggi," katanya.
Setakat 9.56 pagi ini, harga saham Gas Malaysia menokok 2 sen atau 0.69% kepada RM2.93 dengan 47,000 saham diniagakan. - DagangNews.com








