SINGAPURA 15 Sept - AirAsia menjangkakan operasi penerbangan laluan Malaysia-Singapura pulih sepenuhnya menjelang suku pertama 2023.
Ia berikutan perkhidmatannya kini kembali beroperasi di Terminal 4 (T4) Lapangan Terbang Changi di sini, bermula hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, pihaknya menyasarkan kembali pulih kepada 80% daripada tahap sebelum pandemik menjelang Disember 2022, dengan 20 penerbangan harian berbanding 15 penerbangan semasa setiap hari.
"Penerbangan antara kedua negara ketika ini melibatkan 15 pesawat setiap hari menerusi beberapa lokasi antaranya Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sibu dan Kota Kinabalu.
“Kami sedang melaksanakan penerbangan seperti sebelum COVID-19, iaitu 15 penerbangan dari Malaysia ke T4, dan pada Disember nanti diharap dapat mencapai 20 penerbangan sehari,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas majlis meraikan penyambungan semula operasi Air Asia di T4, hari ini.
Terdahulu, penerbangan pertama AirAsia mendarat di T4 dari Kuala Lumpur pada jam 8.25 pagi (nombor penerbangan AK703) waktu tempatan menggunakan pesawat Airbus A330.
Ketika dilanda pandemik, syarikat penerbangan tersebut beroperasi di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi, berikutan T4 terpaksa ditutup.

Riad berkata, pihaknya menghadapi kekangan jumlah pesawat dan cabaran bagi penyelenggaraan dan baik pulih di Malaysia untuk mendapatkan pesawat yang diservis.
"Keutamaan kami adalah untuk menjadikan pesawat itu layak terbang dan demi memastikan keselamatan penumpang. Buat masa ini kami perlu menggunakan pesawat ini dalam memenuhi permintaan semasa dan kami melakukannya berhati-hati," katanya.
Tambahnya, pada masa ini sebanyak 90 pesawat digunakan bagi memenuhi permintaan di Malaysia.
“Berdasarkan permintaan dan situasi semasa, mempunyai 90 pesawat lebih daripada cukup, sekurang-kurangnya untuk setahun lagi,” katanya.
AirAsia menyumbang lebih daripada satu daripada lapan jumlah penumpang di terminal Lapangan Terbang Changi. Sebelum pandemik, AirAsia menyumbang 51% daripada keseluruhan kapasiti tempat duduk T4.
Perkhidmatan penerbangan ke T4 ini akan memberi peluang kepada AirAsia untuk menambah lebih banyak kekerapan bagi memenuhi permintaan yang kukuh serta membolehkannya untuk kembali pulih sepenuhnya ke tahap kekerapan pra COVID-19 pada masa hadapan. - DagangNews.com








