Operasi di Malaysia jejas Pintaras Jaya, RHB Investment kurangkan unjuran pendapatan FY23-25 lebih 30% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Operasi di Malaysia jejas Pintaras Jaya, RHB Investment kurangkan unjuran pendapatan FY23-25 lebih 30%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 April - Pendapatan Pintaras Jaya Bhd pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) dijangka menjunam lebih 50% tahun ke tahun (YoY) disebabkan tekanan kos, terutamanya daripada operasinya di Malaysia, kata RHB Investment.

 

Firma penyelidikan itu menambah, anugerah projek pembinaan di Singapura juga mendatar kerana tahun 2022 menyaksikan penurunan 0.5% YoY dalam jumlah anugerah kontrak.

 

Oleh itu, firma itu menurunkan unjuran pendapatan FY23-25 sebanyak lebih daripada 30% selepas mengurangkan andaian margin pembinaan, untuk menggambarkan kos tinggi dan pengebilan kemajuan yang lebih perlahan.

 

Menurut firma itu, Singapura kekal sebagai pemacu pendapatan utama syarikat dengan kira-kira 80% daripada buku pesanan tertunggak untuk datang dari negara itu, disokong oleh kontrak kerajaan yang membentuk 70% daripada buku pesanan Singapura, di mana kemajuan projek disokong oleh bekalan buruh yang munasabah.

 

Dalam nota hari ini, firma itu berkata prestasi kumpulan itu di Malaysia telah diheret oleh ketiadaan klausa peningkatan kos untuk projek hartanah swasta yang telah menyebabkan kumpulan itu menanggung beban kos lebih tinggi.

 

Selain itu, kerugian di Malaysia telah mengimbangi keuntungan yang diperoleh di Singapura di mana margin keuntungan mencapai setinggi 34.7% pada suku ketiga tahun kewangan 2021 (3QFY21), sebelum menandakan kerugian bersih dalam 1QFY23 dan 2QFY23.

 

Mengulas lanjut berkenaan prospek, firma itu berkata Pintaras Jaya telah berjaya membawa masuk kesemua 40 pekerja asing di bawah kuota yang diluluskan dari tahun-tahun sebelumnya dan telah memohon pekerja tambahan di bawah Pelan Pengenduran Pengambilan Pekerja Asing, namun bergantung kepada subkontraktor, yang seterusnya menghadapi kelewatan dalam menerima buruh asing.

 

Jelasnya, walaupun tekanan kekurangan buruh dapat diredakan pada suku tahun akan datang, kekurangan pekerja mahir akan menyebabkan ketinggalan masa antara ketibaan dan penempatan mereka memandangkan latihan perlu dijalankan terlebih dahulu bagi yang tidak berpengalaman.

 

“Secara keseluruhannya, kami menjangkakan operasi di Malaysia akan mengheret pendapatan keseluruhan, walaupun sekitar 20% daripada buku pesanannya datang daripada kerja pembinaan di Malaysia,” katanya.

 

Menurut firma itu, buku pesanan kumpulan semakin berkurangan sebanyak RM275 juta pada akhir Disember 2022, berbanding RM450 juta pada akhir FY21.

 

Pemangkin penarafan semula termasuk kerja baharu berkaitan dengan pembangunan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi dan pelancaran Mass Rapid Transit 3 (MRT3) yang lebih awal daripada jangkaan, tambahnya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) disemak turun kepada RM1.91 daripada RM2.09. -DagangNews.com