KUALA LUMPUR 11 Sept - Persidangan Minyak Sawit Kebangsaan (NPOC) 2023 yang pertama kali dianjurkan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) akan menetapkan keutamaan sektor perladangan untuk Belanjawan 2024 serta masa depan industri.
Persidangan dua hari bermula 2 Oktober ini bukan sahaja akan menentukan nada untuk aspirasi industri malah juga berperanan sebagai penunjuk arah untuk penggubalan dasar dan memupuk pertumbuhan industri yang mampan.
"Paling penting dalam rayuan industri yang belum selesai adalah keperluan mendesak untuk semakan menyeluruh terhadap ambang dan kadar levi keuntungan luar biasa kerana levi sedia ada secara tidak seimbang membebankan industri sawit terutama memandangkan kos pengeluaran yang kini meningkat.
"Satu lagi agenda penting adalah rayuan mendesak untuk mempercepat usaha penanaman semula pokok sawit yang sudah tua dan tidak produktif di Malaysia," menurut persatuan itu dalam kenyataan media.
Persidangan bertemakan Palm Progress: Future-Proofing Competitiveness and Sustainability (Kemajuan Sawit: Daya Saing dan Kemampanan Kalis Masa Depan) itu akan diadakan dalam keadaan cabaran yang semakin berkembang dalam industri minyak sawit, memupuk perkongsian pengetahuan dan rangkaian dalam kalangan ahli dan pihak berkepentingan utama lain.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof akan turut melancarkan Garis Panduan Pengambilan Pekerja Secara Bertanggungjawab MPOA semasa persidangan itu.
Industri amat perlu penanaman semula
Berdasarkan perangkaan, pada masa ini terdapat lebih 664,000 hektar kawasan sawit di negara ini yang pokoknya melebihi usia 25 tahun dan amat memerlukan penanaman semula, menurut MPOA.
"Menjelang 2027, industri menghadapi prospek yang menakutkan apabila mempunyai 2.0 juta hektar atau 35 peratus daripada jumlah hektar tanaman kelapa sawit negara yang diklasifikasikan sebagai tua dan tua matang.
"Ini menunjukkan keperluan kritikal untuk melaksanakan langkah strategik bagi mempermuda pokok sawit yang semakin tua, sekali gus melindungi produktiviti dan daya saing sektor ini," tegasnya.
EUDR, pensijilan kemampanan antara isu mendesak
Menangani kebimbangan yang mendesak dan menetapkan pelan hala tuju yang jelas untuk masa depan industri minyak sawit Malaysia bukan sahaja satu keperluan malah juga peluang untuk memacu perubahan positif dan merangsang pertumbuhan berterusan dalam sektor ekonomi penting ini.
Justeru, hasil NPOC 2023 akan menjadi sebut-sebutan, jauh melangkaui skop langsungnya, meletakkan persediaan asas untuk sektor perladangan lebih saksama dan mampan, tambah MPOA.
Persidangan itu akan mengetengahkan pelbagai topik termasuk dasar percukaian, pengambilan pekerja, levi, keperluan mekanisasi, profil kelapa sawit menua, keperluan penanaman semula serta pensijilan kemampanan, lapor Bernama.
Isu mendesak seperti Peraturan Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), persekitaran sosial, pensijilan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan dan Minyak Sawit Mampan Malaysia, pengurusan bakat, penyelidikan dan pembangunan gunaan, kos pengeluaran dan prospek harga juga akan ditangani melalui platform itu. - DagangNews.com








