Nilai dagangan kasar ekonomi digital Malaysia dijangka cecah RM147 bilion menjelang 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nilai dagangan kasar ekonomi digital Malaysia dijangka cecah RM147 bilion menjelang 2025

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Ekonomi Internet Malaysia secara keseluruhan dianggarkan bernilai AS$21 bilion (RM88 bilion) dari segi nilai dagangan kasar (GMV) pada tahun ini dan dijangka mencecah AS$35 bilion (RM147 bilion) menjelang 2025.

 

Menurut laporan 'e-Conomy SEA Report' yang dikeluarkan Google, Temasek dan Bain & Company, Malaysia sedang mengorak langkah ke arah kehidupan baharu selepas pandemik membawa kepada peralihan kekal dalam penggunaan digital. 

 

"Pertumbuhan pasaran digital Malaysia yang meningkat mendadak sebanyak 47% daripada AS$14 bilion (RM59 bilion) pada 2020 kepada AS$21 bilion (RM88 bilion) pada 2021 didorong oleh lonjakan ketara sebanyak 68% e-dagang, yang dijangka berkembang kepada AS$19 bilion (RM80 bilion) menjelang 2025.

 

"Sektor pengangkutan dan makanan serta media dalam talian juga menunjukkan pertumbuhan dua digit, masing-masing sebanyak 35 peratus dan 14 peratus," menurut laporan berkenaan.

 

Edisi keenam laporan itu memberikan pandangan baharu ke dalam ekonomi Internet dari enam negara di Asia Tenggara, merangkumi Malaysia serta Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

 

Ia mendalami tujuh sektor ekonomi Internet meliputi e-dagang, pengangkutan dan makanan, perjalanan dalam talian, media dalam talian dan perkhidmatan kewangan digital, serta dua sektor baru muncul yang terdiri daripada teknologi kesihatan dan teknologi pendidikan.Berdasarkan laporan berkenaan, ekonomi Malaysia membangun dengan pertumbuhan ekonomi Internet yang berterusan.

 

"Pandemik membawa kepada peralihan kekal dalam penerimaan digital di Malaysia di mana 94 peratus pengguna masih menggunakan perkhidmatan digital hari ini dan 98 peratus berniat untuk meneruskannya pascapandemik.

 

"Pengguna prapandemik telah menggunakan secara purata 4.2 perkhidmatan digital tambahan sejak pandemik," katanya.

 

Selain itu, peniaga digital semakin celik teknologi di mana 43 peratus pedagang digital di Malaysia percaya bahawa mereka tidak akan dapat bertahan daripada pandemik tanpa platform digital.

 

"Bagaimanapun, ini telah mempercepatkan penerimaan digital oleh pedagang, dengan 98% kini menerima pembayaran digital dan 72% kini menggunakan penyelesaian pinjaman digital," katanya. -DagangNews.com