KUALA LUMPUR 5 Dis - Nik Rizal Kamil Nik Ibrahim Kamil, yang bakal meninggalkan RHB Bank Bhd menjelang akhir bulan ini, dijadualkan mengambil alih jawatan ketua pegawai kewangan (CFO) di Axiata Group Bhd.
Pelantikannya akan berkuat kuasa 1 Januari 2024, menurut kenyataan Axiata hari ini.
Nik Rizal akan menggantikan Lila Azmin Abdullah, yang memegang jawatan sebagai pemangku CFO kumpulan telekomunikasi sejak Mac tahun ini selain peranannya sebagai ketua pegawai pembangunan korporat kumpulan.
Baru minggu lalu, RHB mengumumkan pemberhentian jawatan CFO Nik Rizal, berkuat kuasa 31 Dis, berikutan tamat kontraknya. Beliau dilantik sebagai CFO bank itu pada Februari 2021.
Sebelum itu, Nik Rizal berkhidmat di Khazanah Nasional sebagai pengarah eksekutif pelaburan, menerajui projek pelaburan dan pelupusan, aktiviti penciptaan nilai dan keseluruhan pelaksanaan strategi kelas aset ekuiti persendirian di peringkat domestik dan antarabangsa dalam bidang telekomunikasi, media dan teknologi.
Beliau juga pernah berkhidmat dalam lembaga pengarah Telekom Malaysia Bhd dan Astro Malaysia Holdings Bhd, selain pernah berkhidmat dengan Royal Dutch Shell PLC, Arthur Andersen & Co (kini dikenali sebagai Ernst & Young PLT) dan Coopers & Lybrand (kini dikenali sebagai PricewaterhouseCoopers) di London.
“Saya berbesar hati mengalu-alukan Nik Rizal ke dalam pasukan kepimpinan Axiata. Latar belakangnya yang mengagumkan dalam pengurusan portfolio kewangan dan pelaburan menjadikannya sesuai untuk peranan penting ini sebagai CFO kumpulan, kerana Axiata memulakan fasa seterusnya dalam perjalanan transformasi kami daripada syarikat telekomunikasi kepada teknologi,” kata ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan Axiata, Vivek Sood.
“Nik Rizal memiliki pengalaman penting dan pemahaman mendalam tentang pengurusan portfolio dalam industri telekomunikasi, media dan teknologi (TMT) dan perkhidmatan kewangan. Kepakarannya yang mendalam dalam semua aspek kewangan korporat, perakaunan dan perancangan kewangan akan memacu keutamaan strategik Axiata untuk peruntukan modal yang berdisiplin, pelaksanaan strategi portfolio dan pengurusan perbendaharaan.
“Saya yakin keupayaan kepimpinan Nik Rizal akan membolehkan Kumpulan mengoptimumkan lagi portfolio pelaburan kami untuk memastikan pertumbuhan mampan dan nilai jangka panjang untuk para pemegang saham kami,” tambahnya. - DagangNews.com