Nextgreen, Nafas wujudkan kerjasama strategik hasilkan baja organik, makanan haiwan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nextgreen, Nafas wujudkan kerjasama strategik hasilkan baja organik, makanan haiwan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jun - Nextgreen Global Berhad menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bagi mewujudkan kerjasama strategik bagi penghasilan baja organik, makanan haiwan dan pelaburan.

 

Nextgreen dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, sebuah jawatankuasa kerja akan dibentuk menerusi kerjasama itu bagi melaksanakan setiap keputusan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

 

Kedua-dua pihak akan berusaha untuk mengambil langkah yang perlu untuk mempromosikan kerjasama berkaitan baja organik, makanan haiwan dan pelaburan.

 

"Matlamat utama kerjasama itu adalah bertujuan membawa hasil pertanian kepada kehidupan selaras dengan agenda teknologi hijau negara berasaskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

 

"Selain itu ia juga bermatlamat menyumbang kepada usaha-usaha membantu kerajaan memastikan kualiti bekalan makanan negara berada pada harga berpatutan," katanya.

 

MoU berkenaan akan berkuat kuasa selama setahun bermula 9 Jun 2022 dan kerjasama itu boleh dilanjutkan berdasarkan kepada perbincangan serta persetujuan bertulis kedua-dua pihak.

 

Perjanjian itu tidak akan memberi sebarang kesan kepada modal saham pegangan pemegang saham utama.

 

Selain itu, kerjasama itu tidak akan memberi kesan terhadap pendapatan sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022. - DagangNews.com