New World Hotel PJ dikenali sebagai Le Méridien Petaling Jaya bermula 1 Jun 2022 | DagangNews Skip to main content

New World Hotel PJ dikenali sebagai Le Méridien Petaling Jaya bermula 1 Jun 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PETALING JAYA 24 Mei - Sebuah hotel bertaraf 5-bintang, New World Hotel Petaling Jaya bakal dikenali sebagai Le Méridien Petaling Jaya bermula 1 Jun 2022. 

 

Le Méridien merupakan antara jenama premium di bawah Marriott International dan bakal melalui transformasi untuk menawarkan pengalaman gaya hidup yang eksklusif kepada penginapnya. 

 

Penjenamaan semula hotel 5-bintang itu dibuat berikutan termeterainya perjanjian francais antara Jelas Puri Sdn Bhd, sebuah anak syarikat kepada WCT Holdings Berhad (WCT) dengan Marriott International. 

 

Hotel yang mengandungi 300 bilik itu disasarkan kepada para pelanggan terdiri daripada pelancong dan pengembara korporat dengan menawarkan khidmat pelanggan berdasarkan piawaian Marriott International. 

 

Le Méridien, sebuah jenama penginapan mewah dan ternama menawarkan pengalaman yang menguja dengan perspektif unik melalui gabungan elemen Chic, Cultured and Discovery yang diinspirasikan berdasarkan tempat kelahiran jenama tersebut iaitu Paris.

 

Timbalan Pengarah Urusan WCT, Peter Chow berkata, mereka amat berbesar hati kerana Le Méridien bersedia menjadi  antara rakan sekutu jenama WCT selain diberikan peluang menjalinkan kerjasama dengan salah sebuah syarikat hospitaliti yang ternama. 

 

Beliau berkata, Marriott International merupakan antara rangkaian hotel terbesar di dunia berdasarkan kepada bilangan bilik yang diurusnya.  

 

"Kami percaya penjenamaan semula ini merupakan kaedah terbaik untuk mencapai impian kami dan mengembangkan lagi perniagaan dengan  meraih prestasi jualan melalui kadar penginapan yang lebih baik, meningkatkan kecekapan kos dan juga produktiviti kakitangan.

 

“Usaha ini selari dengan hala tuju strategik kami untuk meningkatkan potensi hartanah dalam projek pembangunan bersepadu WCT di Paradigm Petaling Jaya. Kami berhasrat  untuk menjadikan hotel kami sebagai pilihan ramai bagi tujuan penginapan, penganjuran acara dan menjamu selera di Petaling Jaya dengan memanfaatkan program Mariott Bonvoy.  

 

"Mariott Bonvoy merupakan program keahlian terbesar di dunia yang mempunyai 140 juta ahli. Pembukaan Le Méridien Petaling Jaya juga tepat pada masanya dengan tindakan kerajaan membuka semula pintu sempadan negara baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Penjenamaan semula itu bakal menawarkan perkhidmatan hotel yang dipertingkatkan, termasuk ruang rehat, The Lounge akan dijenamakan semula sebagai ‘Latitude 03⁰ 06’, manakala ruangan makan hotel yang dikenali sebagai Pasar Baru, iaitu sebuah restoran yang menghidangkan makanan tempatan kegemaran yang diolah (local favourites) tempatan yang menarik.

 

PJ’S Bar and Grill, salah sebuah tempat bersantai di tingkat paling atas yang tersohor di Petaling Jaya akan dikekalkan. Selain itu, para tetamu hotel juga boleh menikmati pelbagai tawaran makanan dan minuman (F&B) Le Meridien yang disediakan untuk mereka. - DagangNews.com