KUALA LUMPUR 14 Feb - Perkhidmatan penstriman Netflix (@NetflixMY) menjadi platform paling popular dan banyak diperkatakan dalam kalangan rakyat Malaysia di Twitter.
Twitter Malaysia memaklumkan, perbualan mengenai kandungan daripada platform penstriman meningkat secara mendadak dengan 25.5 juta tweet berkaitan rancangan dan filem mengenai perkhidmatan tersebut dari Asia Tenggara pada tahun lepas.
Jelasnya, Netflix telah terbukti banyak diperkatakan kerana menawarkan pelbagai dokumentari tempatan mahupun antarabangsa, rancangan televisyen dan filem-filem terbaru.
"Segelintir pengguna di Twitter akan memulakan bebenang untuk menyenaraikan siri kegemaran mereka dan ada juga saling bertukar pendapatdengan pengikut mereka. Hal ini mencetuskan perbualan yang rancak dan diminati semua," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, perbualan berkaitan muzik di Malaysia pula meningkat dengan 25.9 juta tweet berkaitan muzik dirakam antara Januari hingga Oktober 2021 dengan K-pop mendominasi perbualan.
Katanya, Twitter terus menjadi pilihan utama bagi penggemar hiburan selepas menghadapi pandemik yang melanda beberapa tahun kebelakangan ini.
"Walaupun sektor ekonomi semakin pulih dan dibuka semula, orang ramai tetap berbincang tentang tayangan filem baharu, wira-wira kegemaran, rancangan televisyen tempatan dan pilihan K-drama dalam talian.

"Ini termasuk rancangan yang dinanti-nantikan seperti siri Netflix Loki yang dibintangi oleh Tom Hiddleston dan bebenang perbincangan K-drama yang tidak berkesudahan. Ternyata, adegan hiburan akan terus memacu perbualan dalam talian di Twitter tahun ini," katanya.

Tambahnya, Twitter terus menjadi gudang bagi peminat mencari rekomendasi filem untuk memenuhi masa lapang membincangkan pengakhiran rancangan dan tempat peminat muzik pelbagai genre berkumpul memberi potongan lagu menyentuh perasaan mereka.
Dalam pada itu, antara majlis pernikahan yang dinanti-nantikan pada tahun 2021 adalah daripada seorang pelakon wanita dan usahawan, Noor Neelofa (@Neelofa) dengan majlisnya yang menakjubkan.
"Para peminat mengekspresikan keterujaan mereka dari saat permata mereka melihat majlis resepsinya yang dikongsi di Twitter.

"Selalunya, keterujaan peminat akan terbina sebelum acara bermula hinggalah ke babak pengakhiran. Sama seperti ruang legar pawagam atau teater, Twitter adalah tempat tercetus sebuah perbualan, dari saat treler ditayangkan hingga ke akhir rancangan," katanya. - DagangNews.com








