Netflix, Disney+ gagal pacu hasil langganan Astro, CGS-CIMB turunkan penarafan kepada 'pegang' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Netflix, Disney+ gagal pacu hasil langganan Astro, CGS-CIMB turunkan penarafan kepada 'pegang'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Sept - Astro Malaysia Holdings Bhd. dijangka merekodkan prestasi kewangan yang lebih lemah pada separuh kedua bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (FY23). 

 

Ini berikutan kos yang ditanggung untuk memperoleh hak penyiaran dan penstriman Piala Dunia 2022 FIFA akan menjerat margin Astro dengan menjangkakan margin sebelum cukai FY23 pada 13.4% berbanding 14.1% pada FY22, demikian menurut penganalisis CGS-CIMB, Kamarul Anwar Kamaruddin. 

 

Beliau berkata, keuntungan bersih teras pada separuh pertama berakhir 31 Julai 2022 merosot 10.4% tahun ke tahun dengan semua segmen mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan. 

 

Tetapi, katanya, perkara yang paling membimbangkan ialah penurunan berterusan kedudukan tunainya iaitu hasil langganan pada separuh pertama susut 6.7% tahun ke tahun menyebabkan kumpulan mencatatkan pendapatan dua suku berturut-turut di bawah RM1 bilion. 

 

"Keuntungan bersih teras separuh pertama Astro adalah di bawah jangkaan kami dan konsensus kerana merangkumi 47% daripada konsensus dan ramalan setahun penuh kami.

 

"Kami berharap pengenalan perkhidmatan penstriman arus perdana ke dalam perkhidmatan televisyen berbayar Astro akan membantu menyemarakkan semula minat rakyat Malaysia terhadap perkhidmatan ini.

 

"Walaupun kami menjangkakan bahawa ia akan mengambil masa untuk membawa rakyat Malaysia kembali kepada Astro, tetapi sekurang-kurangnya kami berharap untuk melihat sedikit pemulihan dalam hasil langganan kumpulan dari FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.

 


Baca : Segmen beli-belah, hasil langganan jejaskan pendapatan Astro pada suku kedua, susut kepada RM921 juta

 


Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, pendapatan separuh pertama Astro susut 11.2% kepada RM1.88 bilion daripada RM2.12 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan 2022, manakala untung bersih juga susut kepada RM198.48 juta daripada RM228.37 juta.


 
Pada suku kedua berakhir 31 Julai 2022, untung bersihnya meningkat 7.9% kepada RM98.47 juta, sebaliknya pendapatan susut 13.1% kepada RM921.12 juta daripada RM1.06 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagi tempoh itu, segmen televisyen mencatat pendapatan lebih rendah sebanyak RM836.3 juta berbanding RM922.2 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya ekoran penurunan hasil langganan, pengiklanan dan jualan hak program. 

 

Menurut Kamarul Anwar, pendapatan purata setiap pengguna (ARPU) pada Julai 2022 kekal mendatar tahun ke tahun pada RM97.40 di sebalik harga langganan yang lebih tinggi daripada pakej Netflix dan Disney+ Hotstar.

 

"Berdasarkan pemerhatian kami, rakyat Malaysia tidak terpengaruh kerana mereka sudah selesa menggunakan perkhidmatan penstriman cetak rompak atau rangkaian persendirian maya (VPN) untuk menstrim perkhidmatan video di luar negara.

 

"Kami bimbang aktiviti cetak rompak yang berterusan menimbulkan ancaman kepada pemulihan pendapatan langganan Astro," jelasnya.

 

Beliau berpendapat, Astro menjadi mangsa kepada penguatkuasaan yang lemah terhadap aktiviti cetak rompak di Malaysia. 

 

Katanya, Indonesia pula sebaliknya, menjadi contoh bagi penonton di negara membangun yang kembali kepada perkhidmatan video berlesen apabila cetak rompak disekat, menurut kenyataan pada April lalu oleh Persatuan Industri Video Asia (AVIA), trafik ke semua tapak lanun di Indonesia menurun sebanyak 75% selepas kerajaan menyekat 3,500 tapak.

 

Mengambil kira semua faktor ini, penarafan saham Astro disemak turun kepada 'pegang' berbanding 'tambah' dengan harga sasaran lebih rendah pada 88 sen daripada RM1.35 sesaham sebelum ini.

 

Malah, pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23 hingga FY25 juga dikurangkan antara 15% hingga 39% disebabkan hasil langganan yang lebih rendah dan kenaikan kos hutang berdasarkan andaian kos purata wajaran modal (WACC) daripada 2% kepada 5.5% untuk mencerminkan kadar faedah yang lebih tinggi.

 

Setakat 9.14 pagi ini, harga saham Astro susut 1.5 sen atau 1.81% kepada 81.5 sen dengan 669,400 saham diniagakan. - DagangNews.com