Negara kehilangan cukai RM707 juta hasil kegiatan edar minuman keras, rokok putih tidak sah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Negara kehilangan cukai RM707 juta hasil kegiatan edar minuman keras, rokok putih tidak sah

Kastam tumpaskan kegiatan edar minuman keras, rokok putih tidak bercukai RM8.3 juta pada 3 September 2021.

 

 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 Dis - Sepanjang tahun 2020, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (atau JKDM) telah merekodkan 2,842 kes rampasan rokok dan minuman keras tidak sah yang bernilai RM97.34 juta.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, secara keseluruhan, anggaran kehilangan cukai melalui kes-kes tersebut adalah berjumlah RM707 juta.

 

Beliau berkata, bagi tahun ini pula, JKDM telah merekodkan 2,518 kes rampasan bernilai RM41.43 juta, jumlah kehilangan cukai yang dianggarkan berjumlah RM281.69 juta sehingga September.

 

"Dalam usaha membendung ketirisan hasil cukai akibat penyeludupan rokok dan minuman keras, pihak JKDM sentiasa mempergiatkan kawalan dan tindakan penguatkuasaan melalui pelbagai aktiviti serbuan, rondaan darat dan air, sekatan jalan raya, pemeriksaan kapal, bot dan juga kenderaan.

 

"Usaha menangani aktiviti penyeludupan terus dipertingkatkan melalui pelbagai tindakan, antaranya termasuklah menyertai Operasi Portcullis; merangka kaedah operasi yang lebih dinamik; mengadakan Ops BENTENG melalui pelaksanaan sekatan jalan raya bersama agensi penguatkuasa dan melaksanakan Ops PACAK di tempat-tempat yang telah dikenalpasti sebagai hot-spot," katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jempol, Dato Salim Sharif di Dewan Rakyat hari ini. 

 

Tengku Zafrul
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

 

Tambahya, selain itu bagi menangani aktiviti penyeludupan, JKDM turut menyediakan mesin pengimbas bagi setiap proses inbound dan outbound di seluruh negara serta menyertai kerjasama dalam Multi-Agency Task Force (MATF) dengan pelbagai agensi penguatkuasaan lain seperti PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan SPRM dan sebagainya.

 

"JKDM turut menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan keselamatan serta pihak industri; dan  antarabangsa melalui perkongsian maklumat perisikan antarabangsa dan operasi antarabangsa yang berkaitan isu-isu ini," katanya.

 

Dalam pada itu Tengku Zafrul berkata, sebarang pelesenan penjualan minum keras perlu mendapatkan kelulusan Lembaga Pelesenan, selaras dengan Seksyen 35, Akta Eksais 1976. 

 

Jelasnya, setakat ini, tiada pindaan telah dibuat bagi perwakilan kuasa tersebut, di mana Kerajaan Negeri diberi kuasa untuk membuat keputusan berkenaan lesen penjualan minuman keras.

 

"Baru-baru ini timbul pelbagai kekeliruan dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan lesen penjualan minuman keras diperingkat negeri. Saya ingin memberi jaminan sekali lagi bahawa perwakilan kuasa melalui perintah yang diwartakan pada tahun 1977 masih kekal tanpa sebarang perubahan," katanya. -DagangNews.com