NationGate bermula cemerlang di Bursa Malaysia, dibuka pada 81 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NationGate bermula cemerlang di Bursa Malaysia, dibuka pada 81 sen

KUALA LUMPUR 12 Jan - NationGate Holdings Bhd. membuat penampilan sulung yang cemerlang di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan harga pembukaan pada 81 sen. 

 

Ia mewakili premimum sehingga 113.2% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 38 sen. 

 

Ketika pembukaan dagangan, ia menyaksikan 65.8 juta saham syarikat penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu diniagakan.

 

Kumpulan menjangkakan penyenaraian itu akan meraih dana berjumlah RM165.5 juta dengan sebanyak RM48.4 juta (29.2%) akan digunakan untuk keperluan modal kerja untuk membeli pelbagai bahan mentah, bahan guna habis dan komponen elektronik yang digunakan untuk aktiviti EMS.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM5.9 juta (3.6%) akan digunakan untuk membeli jentera dan peralatan tambahan untuk mengembangkan kapasiti pemasangan teknologi peletakan permukaan (SMT) sehingga 38.4 juta titik pelekap kepada maksimum 1.3 bilion titik lekap sebulan dan meningkatkan kecekapan pengeluarannya di Loji 5, selaras dengan peningkatan permintaan daripada pelanggan sedia ada dan baharunya.

 

Baki sebanyak RM105.5 juta (63.8%) dan RM5.7 juta (3.4%) masing-masing akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan untuk perbelanjaan penyenaraian

 

Pengarah Urusan NationGate, Ooi Eng Leong dalam kenyataan hari ini berkata, penyenaraian itu akan memudahkan kumpulan dengan fleksibiliti kewangan yang lebih besar untuk mengejar peluang pertumbuhan masa depan.

 

Katanya, ia juga akan meningkatkan reputasi kumpulan dalam pemasaran perkhidmatan untuk mengembangkan pangkalan pelanggan, mengekalkan dan menarik profesional baharu yang berpengalaman dalam industri EMS.

 

"Sejak tiga tahun kebelakangan ini, kumpulan menyaksikan peningkatan tempahan daripada pelanggan daripada segmen rangkaian dan telekomunikasi, pengkomputeran data, automotif dan semikonduktor.

 

"Penggunaan rangkaian 5G yang meluas dan permintaan tinggi untuk kenderaan elektrik akan memberi manfaat kepada rangkaian, telekomunikasi dan sektor automotif dari segi keterlihatan pesanan dan memanjangkan kitaran naik sektor berkenaan," katanya. 

 

Jumlah permodalan pasarannya dijangka RM788.1 juta berdasarkan modal sahamnya yang diperbesarkan sebanyak 2.1 bilion saham, menjadikannya penyenaraian terbesar di Pasaran ACE setakat ini.- DagangNews.com