KUALA LUMPUR 5 Julai - Bagi tahun kedua berturut-turut, General Assembly Malaysia (GA Malaysia) akan bekerjasama dengan Khazanah Nasional untuk menjayakan Program Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia (MySTEP), dengan menyasarkan untuk mencipta 80,000 pekerjaan tahun ini di bawah inisiatif Jamin Kerja.
GA Malaysia akan melengkapkan para peserta MySTEP dengan kemahiran digital atas permintaan melalui kursus-kursus bertaraf dunia dan dibimbing pengajar secara maya, dalam satu daripada tiga disiplin digital, analitik data, pemasaran digital, dan reka bentuk pengalaman pengguna.
Dalam tempoh kursus selama empat bulan, peserta akan meraih pengalaman kursus latihan digital GA yang memenangi anugerah, diikuti oleh kurikulum kebolehambilan kerja berstruktur yang akan melengkapkan mereka dengan pelbagai alat untuk mendapatkan pekerjaan bermakna seperti komunikasi perniagaan dan penjenamaan peribadi.
Para peserta juga akan memperoleh elaun bulanan sebanyak RM2,000 sepanjang program. Program juga mencakupi penempatan selama tiga bulan dengan salah satu daripada kira-kira 200 rakan pengambilan tempatan GA Malaysia.
Bagi GA Malaysia, kemuncak matlamat program adalah untuk menyediakan sokongan yang diperibadikan kepada setiap peserta agar mereka memperoleh pekerjaan jangka panjang dalam suatu peranan yang dirasakan bermakna oleh mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif GA Malaysia, Andrew Pereira berkata, dengan kadar pengangguran negara berlegar sekitar 4% dan sebahagian daripada pekerjaan Malaysia berisiko mengalami penyingkiran disebabkan kadar pendigitalan yang semakin pesat, MySTEP 2022 ternyata hadir pada waktu paling tepat.

"Sebagai sebuah syarikat transformasi kemahiran digital global, General Assembly berada pada kedudukan yang baik untuk membantu, khususnya dengan rekod prestasi terbuktinya dalam menempatkan 92% daripada graduan latihan semula dalam peranan digital atas permintaan dalam tempoh enam bulan selepas bergraduat.
"Di samping itu, kami akan menyokong peserta MySTEP kami untuk mendapatkan kemahiran tersedia industri dan meraih pengalaman bekerja yang berharga dan pada masa yang sama memperoleh gaji bulanan sebagai persediaan mereka untuk pekerjaan sepenuh masa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, MySTEP 2022 akan mempertingkatkan rakyat Malaysia dalam kemahiran digital dan profesional serta menyokong peralihan mereka kepada pekerjaan jangka panjang.
"Ketika program berlangsung, General Assembly akan membimbing para peserta untuk membuat lebih banyak keputusan berdasarkan maklumat mengenai landasan masa depan mereka.
"Ini merupakan suatu program holistik yang bukan sahaja melengkapkan para peserta dengan kemahiran digital atas permintaan tetapi juga memastikan mereka melakar laluan kerjaya yang bermakna dan mampan untuk diri mereka sendiri.
"Kami berasa teruja untuk membantu generasi bakat digital baharu yang akan memperkasakan aspirasi digital organisasi Malaysia pada tahun-tahun yang akan datang," katanya.
Untuk menyertai MySTEP 2022, calon hendaklah berusia 30 tahun ke bawah dan tidak bekerja sekurang-kurangnya selama tiga bulan. Pemohon hendaklah merupakan pemegang ijazah, diploma atau sijil profesional daripada mana-mana institusi pengajian tinggi yang diiktiraf di Malaysia dan tidak menyertai mana-mana MySTEP atau program sama yang lain.
Yang paling penting, peserta yang berminat hendaklah berhasrat untuk mendapatkan pekerjaan sepenuh masa pada tahun 2022. Mereka yang berminat untuk memohon boleh mendaftarkan diri di https://www.akademiga.com/mystep-2022. - DagangNews.com







