MySejahtera pantau had 2 jam pelanggan - KPDNHEP | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MySejahtera pantau had 2 jam pelanggan - KPDNHEP

 

 

KUALA LUMPUR 24 Mei  - Kerajaan akan menggunakan aplikasi MySejahtera bagi memantau had masa maksimum 2 jam bagi pelanggan di premis peruncitan.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, aplikasi itu akan menunjukkan rekod masa masuk secara tepat dan ia akan memudahkan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahupun pihak premis membuat pemantauan sekiranya perlu.

 

Had maksimum 2 jam untuk pelanggan di premis peruncitan termasuk pusat membeli belah diumumkannya semalam, serentak dengan arahan untuk pemilik premis peruncitan mengehadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa mengikut keluasan premis dengan penetapan satu orang bagi setiap empat meter persegi.

 

Penguatkuasaan  prosedur operasi standard (SOP) itu adalah susulan  pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang akan berkuat kuasa esok, (25 Mei).

 

“KPDNHEP turut memohon pemilik premis untuk menggunakan kaedah masing-masing untuk mematuhi SOP ini, dengan mengingatkan pelanggan  premis agar mengikuti arahan dua jam ini,” kata Nanta dalam sidang media secara maya hari ini seperti dilapor Bernama.

 

Nanta berkata, pegawai penguat kuasa KPDNHEP dengan kerjasama pemilik premis akan turut memantau tempat tumpuan yang dikenal pasti secara rawak untuk memastikan rakyat mematuhi SOP berkenaan.

 

"Pembeli dinasihatkan merancang dengan  bijak mengenai aktiviti  membeli-belah mereka dengan mengawal tempoh pembelian sekali gus dapat membantu mengurangkan rantaian jangkitan COVID-19 dalam negara," katanya.

 

Ditanya mengenai sesetengah individu yang membawa kanak-kanak dalam  pusat beli-belah, Nanta berkata SOP jelas mengatakan bahawa  golongan itu 'tidak digalakkan' masuk premis dan bukannya 'tidak dibenarkan' kerana kerajaan faham permasalahan yang dihadapi rakyat.

 

"Contohnya mungkin ada ibu atau bapa tunggal yang perlu membawa anak mereka bersama. Kalau boleh tinggalkan mereka pada saudara terdekat boleh berbuat demikian dan elakkan bawa masuk premis," katanya.

 

Nanta dalam pada itu berkata 'dine in' dalam kenderaan tidak dibenarkan dan tiada SOP berkenaan aktiviti terbabit.

 

Menurutnya, idea menikmati makanan dalam kenderaan bersama keluarga mungkin timbul kerana larangan 'dine in' dalam premis akibat PKP namun buat masa ini, tiada keputusan baharu mengenainya dibuat.

 

Menurut laporan yang disiarkan dalam talian hari ini, premis makanan yang menyediakan layanan 'dine-in' dalam kereta adalah melanggar SOP dan tindakan kompaun boleh dikenakan ke atas pengusaha premis yang menyediakan layanan sedemikian.

 

Laporan itu memetik Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail sebagai berkata sebuah premis makanan di Miri dikompaun pada Jumaat kerana menyediakan perkhidmatan tersebut. - DagangNews.com