MySejahtera: PAC akan panggil Khairy, Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

MySejahtera: PAC akan panggil Khairy, Tengku Zafrul

Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR 30 Mac -  Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil dua menteri berhubung Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera dalam prosiding yang dijangka bermula pertengahan bulan depan.

 

Pengerusinya, Wong Kah Woh, berkata sebagai permulaan, PAC akan memanggil Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

 

"Mereka akan mewakili Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Perdana Menteri.

 

"Tarikh dan masa prosiding akan ditetap dan diumumkan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

Pada 21 September tahun lalu, katanya, kerajaan menerusi jawapan di Dewan Rakyat antara lain menyatakan aplikasi MySejahtera bermula sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan tempoh setahun itu berakhir esok.

 

Susulan berakhirnya tempoh itu, kerajaan memutuskan membuat pembayaran untuk penggunaan aplikasi terbabit bermula 1 April 2021.

 

"Isu aplikasi MySejahtera turut terkandung dalam Laporan PAC berhubung Perolehan Vaksin COVID-19 dan Penggunaannya Terhadap Rakyat Malaysia yang dibentangkan di Parlimen pada 1 Disember 2021.

 

"Ketika itu, PAC merumuskan konsep CSR digunakan sebagai mekanisme untuk mendapatkan projek kerajaan tanpa melalui prosedur perolehan sepatutnya," katanya.

 

Kah Woh berkata, PAC turut mengesyorkan kerajaan tidak seharusnya membuat bayaran untuk penggunaan aplikasi MySejahtera kerana pembangunannya bersifat CSR.

 

"Kerajaan hendaklah mengambil alih pengoperasian aplikasi MySejahtera tanpa membabitkan kos tambahan memandangkan ia sudah menjadi sebahagian daripada sistem kesihatan negara," katanya.

 

Pada 8 Mac lalu, jelasnya, PAC mengadakan prosiding Tindakan Susulan Pegawai Pengawal Terhadap Syor bagi Laporan PAC berkenaan.

 

Dalam prosiding itu, katanya, PAC antara lain dimaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 November 2021 bersetuju memberi kelulusan kepada KKM melantik syarikat MYSJ Sdn Bhd secara rundingan terus bagi tujuan memurnikan semula proses perolehan aplikasi MySejahtera.

 

"PAC dimaklumkan KKM perlu melaksanakan due diligence (penilaian wajar) terhadap syarikat yang ingin dilantik, namun pada masa sama, PAC membangkitkan persoalan bagaimana pemilikan aplikasi MySejahtera dipindah daripada KPISoft Malaysia Sdn Bhd kepada MYSJ Sdn Bhd.

 

"PAC berpandangan pelantikan secara rundingan terus kepada sebuah syarikat baharu tidak harus berlaku," katanya.

 

Beliau menegaskan, Laporan Tindakan Susulan PAC itu dibentangkan ke Dewan Rakyat pada 24 Mac lalu dan isu itu mendapat perhatian meluas rakyat sepanjang minggu lalu.

 

Sehubungan itu, Kah Woh berkata, isu pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera perlu dijelaskan secara telus di hadapan PAC sebagai jawatankuasa 'non partisan' (rentas parti) demi kepentingan rakyat dan negara.

 

Lebih-lebih lagi, katanya, ia membabitkan pelantikan sebuah syarikat swasta sebagai pengendali aplikasi MySejahtera secara rundingan terus serta kos yang terbabit.

 

Beliau berkata, ia membabitkan isu keselamatan data peribadi rakyat dan PAC mahu mengelak pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas maklumat peribadi rakyat, lapor Berita Harian.

 

Katanya, prosiding itu wajar diadakan selaras punca kuasa PAC di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang jelas menyebut ."..apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Jawatankuasa itu patut diperiksa...."

 

"PAC juga akan menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 83(2) serta Perkara 11(b) Pekeliling Am Bil 2 Tahun 1982 dalam mengendalikan prosiding terbabit," katanya. - DagangNews.com