MyNews lakukan perubahan bagi menarik kehadiran pelanggan B40, kata AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MyNews lakukan perubahan bagi menarik kehadiran pelanggan B40, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Sept - MyNews Holdings Berhad melakukan penyusunan semula lima cawangan MyNews Supervalue dan 14 kedai serbaneka kepada kedai konsep pasar mini Supervalue bagi menarik kehadiran pelanggan daripada golongan B40.

 

AmInvestment Bank Research berkata, kumpulan itu merancang untuk menukar 12 lagi kedai nilai super MyNews, seterusnya menjadikan jumlah kedai Supervalue kepada 31 menjelang akhir FY23.

 

"Kami memahami bahawa rasional perubahan itu adalah untuk menarik pengguna B40 dan sedar dengan kos yang tinggi ketika ekonomi global yang lemah.

 

"Matlamat kedai konsep Supervalue adalah untuk menyediakan pengalaman membeli-belah yang mudah di lokasi kejiranan, menekankan produk nilai untuk wang.

 

"Walau bagaimanapun, kami bersikap neutral terhadap transformasi itu memandangkan saingan sengit dalam harga dan penawaran produk oleh syarikat lain," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu memberi bayangan untuk menambah 100 cawangan baharu pada FY24 menerusi gabungan kedai MyNews, CU dan kedai Supervalue, dengan MyNews memerlukan perbelanjaan modal antara RM30 juta hingga RM40 juta.

 

"Bagaimanapun, kami hanya mengambil kira 50 kedai tambahan pada FY24 disebabkan sentimen pengguna yang lemah dan kos operasi yang lebih tinggi yang perlu diserap," katanya.

 

Walaupun dengan pelancaran produk dan kedai baharu, AmInvestment Bank tetap berhati-hati mengenai pendapatan MyNews yang tidak menentu pada jangka masa terdekat.

 

Katanya, ia disebabkan tempoh penubuhan lebih lama untuk kedai CU akibat persaingan sengit dan keperluan untuk meningkatkan perkhidmatan pelanggan.

 

"Kos operasi dan skala tidak ekonomi yang lebih tinggi di pusat pemprosesan makanan (FPC) juga dijangka memberi impak kepada operasi MyNews.

 

"Kelembapan dalam perbelanjaan pengguna disebabkan tekanan inflasi juga mungkin menghalang perkembangan kedai baharu," katanya.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham MyNews dengan nilai wajar (FV) 49 sen sesaham. - DagangNews.com