KUALA LUMPUR 1 Mac - MYAirline melancarkan destinasi ketiganya di Sarawak dengan menambah kekerapan penerbangan dua kali sehari Kuala Lumpur ke Miri, begitu juga dari Miri ke Kuala Lumpur mulai 15 Mac 2023.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rayner Teo berkata, pihaknya berminat untuk meningkatkan lagi bukan sahaja sektor ekonomi tempatan dengan menyediakan jadual penerbangan yang mudah tetapi juga untuk menjadikan destinasi lebih menarik kepada pelancong dan pengembara.
"Laluan ini (Miri) membuka kunci perjalanan untuk penumpang daripada pengembara perniagaan di industri petroleum kepada pengunjung festival, pencinta pantai dan pencari pengembaraan dan pusat beli-belah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, MYAirline mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Miri hari ini menerusi pesawat Z9 8301 yang turut dinaiki oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin yang merasai pengalaman pertama penerbangan MYAirline.
Lee berkata, penambahan laluan ke Miri ke senarai MYAirline adalah tepat pada masanya.
Katanya, pihaknya sedang mencapai matlamat dalam pelan induk untuk Greater Miri dan kekerapan penerbangan bagi meningkatkan sambungan udara melalui pembangunan kebudayaan, pelancongan, perniagaan dan logistik.
"Penerbangan yang mencukupi boleh menyediakan sambungan yang baik ke destinasi antarabangsa adalah penting untuk memudahkan perjalanan untuk membawa masuk pengembara perniagaan, pelancong dan kargo udara.

"Di dalam sambungan ini, saya sangat berharap MYAirline juga akan memasukkan penerbangan terus ke destinasi antarabangsa tertentu dari Miri," katanya.
Miri menandakan laluan domestik harian kelapan untuk MYAirline dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.
Manakala rangkaian laluannya terdiri daripada destinasi iaitu Kota Kinabalu, Kuching, Kota Bharu, Langkawi, Pulau Pinang, Sibu, Tawau dan Miri, termasuk rancangan sedang dijalankan untuk meningkatkan lebih banyak destinasi dan kekerapan penerbangan. - DagangNews.com








