Mudajaya teroka pasaran China menerusi pengambilalihan Real Jade Limited | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mudajaya teroka pasaran China menerusi pengambilalihan Real Jade Limited

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Jun - Mudajaya Group Bhd. mengembangkan pelaburannya ke China dengan memperoleh keseluruhan pegangan dalam Real Jade Limited, anak syarikat tidak langsung milik penuh kumpulan, Xelmont Limited.

 

Pengambilalihan itu melibatkan pertimbangan pembelian indikatif sebanyak HKD400,000,000 (bersamaan RM224.32 juta) pada asas aset bersih yang diterima.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mudajaya,  Ir. James Wong berkata, dengan pengambilalihan ini, kumpulan telah meluaskan jejak geografinya ke pasaran China, sejajar dengan objektif kumpulan untuk meneroka peluang pertumbuhan di luar negara.

 

Katanya, kumpulan melihat potensi pertumbuhan di China, dan pengembangan ke pasaran negara itu akan menambah perdagangan tempatan dan pembuatan bahan binaannya serta mengembangkan kehadiran di luar negara.

 

"Pengembangan segmen perdagangan dan pembuatan Mudajaya ke luar negara akan membolehkan kumpulan memperluaskan lagi aliran pendapatan.

 

"Kumpulan yakin pengambilalihan ini akan menyumbang secara positif kepada hasil dan pertumbuhan kumpulan pada masa depan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Secara dasarnya, Real Jade Limited terlibat dalam pegangan pelaburan. Menerusi anak-anak syarikatnya, kumpulan memulakan perniagaan pada 1993 dan terlibat dalam pembuatan dan perdagangan simen dan clinker di China.

 

Real Jade dan anak syarikatnya (secara kolektif dikenali Real Jade Group) juga terlibat dalam penyediaan penyelesaian penjimatan tenaga dan penggunaan semula, melalui pemasangan sistem penyaman udara dan pemanasan yang cekap tenaga dan mesra alam untuk bangunan komersial, kediaman dan perindustrian. 

 

Malah, Real Jade Group juga memiliki dan mengendalikan loji pengeluaran di Shandong, China, yang berkeluasan hampir 1.4 juta kaki persegi bagi pengeluaran simen dan clinker, dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 1 juta tan metrik.

 

Real Jade Group turut membuat pelaburan lebih 10 juta renminbi untuk penyelidikan yang disokong oleh tenaga kerja lebih daripada 50 orang. - DagangNews.com