Muar Collectorspace bawa nafas baharu kepada seni kreatif di Johor | DagangNews Skip to main content

Muar Collectorspace bawa nafas baharu kepada seni kreatif di Johor

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mac - Setelah enam tahun menyimpan impian untuk mewujudkan sebuah ruang acara di luar Kuala Lumpur, Romaizie Mustapha akhirnya berjaya melancarkan Muar Collectorspace yang mula beroperasi pada Julai tahun lepas. 

 

Terletak di Jalan Abdullah, Muar Collectorspace adalah satu inisiatif Collectors Market (yang juga merupakan produk dalam bentuk acara hasil ilham Romaizie) untuk menghidupkan atau meremajakan pekan-pekan lama di Malaysia dengan fokus mengetengahkan seni, warisan serta budaya termasuk ‘pop culture’. 

 

Di Muar, dia menemui sebuah unit di bangunan rumah kedai lama yang memenuhi segala kriteria ruang acara dan tatkala dunia dilanda pandemik, Romaizie memulakan proses pengambilalihan unit tersebut. 

 

Menurut Romaizie, unit tersebut merupakan sebuah rumah kedai dua tingkat yang dibina pada 1940, lebih kurang 83 tahun yang lalu. 

 

"Tidak lama lagi, ia layak didaftarkan di dalam senarai Bangunan Warisan Malaysia di bawah Akta Warisan Negara 2005. Faktor itu sahaja sudah cukup untuk mendorong saya mengambil alih pengurusan bangunan ini dan menjadikannya sebagai pengkalan Muar Collectorspace," katanya dalam kenyataan.

 

Jelas Romaizie lagi, selain gelaran ‘Bandar Maharani’, Muar juga dikenali sebagai ‘Bandar Pencen’ kerana majoriti demografi penduduknya lebih kepada anak jati Muar yang memilih untuk pulang bersara. 

 

Manakala anak-anak muda pula lebih selesa berhijrah ke bandar-bandar yang lebih besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan juga Singapura untuk bekerja. 

 

 

muar
                                          Romaizie Mustapha

 

 

Katanya, Muar Collectorspace dibangunkan dengan idea menyediakan sebuah ruang acara interaktif dan boleh dimanfaatkan sebagai venue bagi anak-anak muda dan sesiapa sahaja untuk berkarya, berkongsi idea serta bakat justeru memberikan peluang untuk berniaga dan berdaya usaha. 

 

"Di tingkat pertama bangunan ini, saya jadikan sebuah kafe, bukan sahaja untuk pengunjung menikmati kopi bru istimewa, dan makanan lazat diinspirasikan dari Johor seperti mee rebus, laksa Johor dan beriani Johor, malah sebagai tempat selesa dan selamat untuk bertemu dan mengadakan mesyuarat dalam suasana santai," jelasnya.

 

 

muar

 

 

muar

 

 

"Tingkat kedua pula saya jadikan sebagai ruang acara. Setakat ini, kami pernah mengadakan persembahan akustik dan beberapa sesi perkongsian serta ceramah dari artis dan pereka tempatan. 

 

"Saya amat berbangga kerana penulis lagu untuk filem hebat Imaginur, iaitu Fikri Fadzil yang juga dikenali sebagai Bayangan, adalah orang pertama yang mengutilasikan ruang acara di Muar Collectorspace dan ia mendapat sambutan hebat dari penduduk Muar. Saya juga merancang untuk menganjurkan sebuah festival seni pada November tahun ini di Muar," katanya.

 

 

muar

 

 

Selain itu, Muar Collectorspace juga melancarkan inisiatif membina arkib bagi ratusan buku terbitan tempatan yang telah dikumpul sebagai sumber bacaan percuma, termasuk pengumpulan piring hitam, kaset, cakera padat dan rujukan muzik tempatan dan dari rantau Asia Tenggara. - DagangNews.com