MSM Malaysia komited perkasa tenaga kerja wanita dalam organisasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MSM Malaysia komited perkasa tenaga kerja wanita dalam organisasi

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb - MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM), menerima pakai Prinsip Pemerkasaan Wanita (WEPs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai sebahagian komitmennya menggalakkan kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita di tempat kerja, pasaran dan komuniti.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, pihaknya komited untuk menyediakan tempat kerja selamat dan inklusif dengan menggalakkan pemerkasaan wanita, kepelbagaian serta peluang sama rata.

 

Beliau percaya dengan memperkasakan wanita bermakna memberi mereka sokongan dan peluang yang mereka perlukan untuk berjaya dan mewujudkan persekitaran yang mana mereka boleh berkembang maju. 

 

"Kita sedar bahawa masih terdapat halangan dan kekangan yang menghalang wanita. 

 

"Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengenal pasti dan menangani isu-isu ini serta mewujudkan persekitaran yang sama rata di mana setiap orang mempunyai peluang yang sama untuk berjaya. 

 

"Ia penting dan perlu untuk mewujudkan budaya pemerkasaan untuk semua petugas kami termasuk wanita di kalangan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Selama lebih 60 tahun, MSM melabur secara konsisten dalam membangunkan modal insan dan kesejahteraan petugasnya, tanpa mengira jantina. 

 

 

msm

 

 

Tenaga kerja yang pelbagai dan berlainan budaya mewakili pendirian kukuh MSM dalam memanfaatkan kepelbagaian pendapat, perspektif dan latar belakang petugas, menambahkan lagi kekuatan syarikat.

 

Sehingga kini, peratusan petugas wanita sepenuh masa di seluruh Kumpulan MSM ialah 17%, yang mana 41% berada di peringkat eksekutif dan 7% peringkat bukan eksekutif. 

 

Pengeluaran penapisan gula di kilang Prai dan Johor adalah tugasan yang berat dan kebanyakannya didominasi lelaki. 

 

Dalam pengurusan kanan, MSM mempunyai 22% wanita dan 26% wakil lembaga pengarah, selain menyasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 30% bagi kategori tersebut dalam tempoh tiga tahun. - DagangNews.com