MRECA mohon KKM adakan perbincangan dengan industri berkenaan kawal selia produk vape | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MRECA mohon KKM adakan perbincangan dengan industri berkenaan kawal selia produk vape

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 April - Malaysia Retail Electronic Cigarette Association (MRECA) memohon Kementerian Kesihatan (KKM) melibatkan industri dalam perbincangan berkenaan butiran kawal selia untuk industri vape.

 

Presiden MRECA, Datuk Adzwan Manas berkata, sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan, industri vape masih tidak berpeluang untuk berbincang dengan KKM berkenaan butiran kawal selia itu. 

 

"Perbincangan bersama industri diperlukan agar peraturan yang akan diperkenalkan mengambil kira keperluan dan data terkini daripada industri," katanya dalam kenyataan.

 

Terdahulu, kerajaan telah mengecualikan cecair vape mengandungi nikotin dari Akta Racun dan memperkenalkan cukai untuk produk tersebut. 

 

Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyatakan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) baharu akan dibentangkan secepat mungkin untuk mengawal selia industri vape dalam sesi Parlimen, baru-baru ini.

 

Adzwan berkata, pihaknya menyambut baik kenyataan daripada Perdana Menteri, yang mana dasar dalam kawalan tidak boleh terlalu drastik melarang penggunaan vape sepenuhnya.

 

"Industri vape selama ini telah dibangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan tempatan. Ia juga telah melahirkan satu ekosistem yang menjadi sebahagian daripada ekonomi negara. 

 

"Langkah drastik untuk melarang penggunaan vape sepenuhnya adalah tidak wajar dan hanya akan melenyapkan industri tempatan," katanya.

 

Oleh itu katanya, langkah mengawal selia industri vape adalah langkah wajar dan pendekatan sederhana seperti yang dinyatakan Perdana Menteri.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan perlu mengambil langkah sebagai penyelesaian interim dengan meminda undang-undang sedia ada sambil menunggu RUU baharu dibentang di Parlimen.

 

"Sebagai langkah interim, industri mencadangkan agar peraturan sedia ada dipinda untuk memulakan kawal selia ke atas industri vape," katanya.

 

Katanya, langkah ini memastikan kawalan dapat dilaksanakan dengan segera ke atas produk vape seperti tiada penjualan produk kepada individu bawah umur 18 tahun, pematuhan kepada ketetapan spesifikasi dan piawaian produk, membendung penyalahgunaan produk, serta kawalan ke atas aktiviti penjualan dan pemasaran. - DagangNews.com