KUALA LUMPUR 12 Mei - MR DIY telah menambah EMTOP sebagai rangkaian jenama runcit baharu bagi memenuhi permintaan pelanggan untuk perkakas, alat dan gajet.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MR DIY, Adrian Ong berkata sekatan perjalanan semasa pandemik, kenaikan kos bahan mentah dan perkhidmatan yang lebih tinggi telah mengilhamkan budaya buat sendiri atau DIY dalam kalangan rakyat Malaysia yang turut meningkatkan permintaan untuk perkakas, alat dan gajet.
Beliau berkata demikian sempena majlis pembukaan kedai EMTOP pertama di Bandar Puteri, Puchong, Selangor pada 24 April 2023.

“Oleh itu, kami memutuskan untuk menjadi francais induk bagi jenama EMTOP di Malaysia. EMTOP merupakan jenama antarabangsa yang diiktiraf di peringkat global dan menjadi kegemaran peminat DIY dan profesional dalam industri pembinaan.
Kedai EMTOP menawarkan pelbagai perkakas asas dalam satu lokasi dan pada harga berpatutan, sesuai dengan janji kami untuk menyampaikan produk berkualiti pada harga yang mampu dimiliki,” katanya dalam satu kenyataan.
Ong menambah bahawa EMTOP juga akan dibuka di Jalan Nanas Kawasan 18, Klang, Selangor.
EMTOP merupakan jenama antarabangsa di lebih 80 negara di seluruh dunia, menghasilkan pelbagai produk perkakas yang terkenal dengan kualiti dan ketahanan pembinaannya.
Rangkaian produk EMTOP yang lebih 1,000 buah ini merangkumi alat-alat kuasa, aksesori alat kuasa dan alat-alat sumber kuasa.
Dengan pembukaan EMTOP, kumpulan tersebut kini mempunyai lebih daripada 1,100 kedai di seluruh negara.

Bagi meraikan pembukaan kedai tersebut, MR DIY telah mengatur pelbagai aktiviti menarik yang berlangsung sehingga 5 Jun 2023.
Ini termasuk diskaun sehingga 30% untuk alat kuasa, penggiling sudut, pemandu impak, gerudi tanpa wayar, gerudi impak, dan pemutar skru tanpa wayar, serta promosi hadiah apabila pelanggan membeli produk EMTOP.
Selain itu, peruncit tersebut juga akan mengadakan siri demonstrasi produk di EMTOP, Bandar Puteri Puchong, dan MidValley Megamall, Kuala Lumpur. -DagangNews.com








