KUALA LUMPUR 25 April - Mohammed Rashdan Mohd Yusof telah melepaskan semua jawatan pengarah dan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Berhad.
Gamuda berkata Rashdan telah melepaskan semua jawatan pengarah berkuat kuasa serta-merta manakala hari terakhirnya adalah 30 Jun.
Perletakan jawatan itu dibuat kira-kira dua bulan selepas Rashdan dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Tenaga (EC) pada Februari.
“Rashdan memberi jaminan kepada lembaga pengarah bahawa terdapat pematuhan penuh terhadap semua peruntukan konflik kepentingan seperti dinyatakan dalam Akta Suruhanjaya Tenaga (Akta 610) dan tadbir urus yang baik dipatuhi dalam semua perbincangannya di EC.
"Pemergiannya daripada kumpulan itu adalah untuk menumpukan perhatian, tenaga dan usahanya dalam menjalankan tugasnya," kata Gamuda dalam satu kenyataan hari ini.
Gamuda berkata Rashdan menyertai syarikat itu pada 1 Mei 2018 sebagai Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan kemudiannya dilantik sebagai pengarah untuk mengganti Datuk Lin Yun Ling pada 28 September 2018.
Menurut kumpulan itu, beliau mempunyai pengalaman selama 26 tahun dalam kewangan korporat dan perbankan pelaburan, perundingan korporat dan perkhidmatan kewangan.
Tambahnya, semasa berkhidmat dengan syarikat itu, Rashdan memainkan peranan penting dalam penjualan lebuh raya yang melibatkan pengambilalihan Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) ke atas syarikat konsesi lebuh raya Lembah Klang iaitu Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd ( Sprint), Kesas Sdn Bhd (Kesas) dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART).
Sementara itu, Datuk Ha Tiing Tai kekal sebagai Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, jawatan yang disandangnya sejak 1 Jun 2012.
Setakat pukul 4:35 petang, saham Gamuda menokok 3sen atau 0.7% kepada RM4.14, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM10.9 bilion. -DagangNews.com








