MNRB terbit sukuk murabahah subordinat RM420 juta disokong permintaan kukuh pelabur | DagangNews Skip to main content

MNRB terbit sukuk murabahah subordinat RM420 juta disokong permintaan kukuh pelabur

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mac - MNRB Holdings Berhad menerbitkan sukuk murabahah subordinat sebanyak RM420 juta di bawah program sukuk bernilai RM420 juta.

 

Sukuk tersebut mendapat minat yang mendalam daripada pelbagai kumpulan pelabur yang terdiri daripada pengurus aset, institusi kewangan, agensi kerajaan dan individu bernilai tinggi, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

MNRB berkata terbitan ini berjaya dimuktamadkan melalui proses pembinaan buku yang menghasilkan buku pesanan akhir melebihi RM2.2 bilion dan kadar keuntungan akhir sebanyak 4.46% setahun.

 

Hasil daripada terbitan sukuk ini diperuntukkan untuk penebusan awal sukuk murabahah subordinat MNRB sedia ada sebanyak RM320 juta pada tarikh panggilan pertamanya pada 22 Mac 2024.

 

Baki RM100 juta akan digunakan untuk mengukuhkan dan mengembangkan rantaian nilai patuh syariah kumpulan, iaitu perniagaan takaful keluarga, takaful am dan takaful semula, serta pengurusan keperluan pembiayaan sedia ada dan akan datang.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Zaharudin Daud berkata, buku pesanan kukuh bagi terbitan itu mencerminkan keyakinan pasaran terhadap asas perniagaan MNRB dan mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia takaful, takaful semula dan insurans semula.

 

“Terbitan sukuk tersebut akan mengukuhkan kedudukan modal MNRB dan menyokong komitmen kami dalam menjana pertumbuhan kumpulan yang mampan,” tambahnya.

 

Sukuk murabahah subordinat ini diberi penarafan A1/Stabil oleh RAM Rating.

 

AmInvestment Bank Berhad, Affin Hwang Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad adalah pengurus utama bersama bagi terbitan sukuk berkenaan. - DagangNews.com