MN Holdings, DC-Science dari China bangun pusat data berprestasi tinggi di Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MN Holdings, DC-Science dari China bangun pusat data berprestasi tinggi di Johor

Pengerusi Shanghai DC-Science David Wang (tiga dari kiri), Pengarah Urusan MN Holdings Loy Siong Hay (keempat dari kiri) pada majlis menandatangani MoU.

KUALA LUMPUR 3 April - MN Holdings Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Mutu Nusantara Sdn. Bhd. menjalin kerjasama dengan Shanghai DC-Science Co Ltd (DC-Science) dari China untuk membangunkan pusat data berprestasi tinggi pertamanya di Malaysia.

 

MN Holdings berkata, projek yang dianggarkan bernilai AS$600 juta (RM2.65 bilion) bakal dibangunkan di tapak seluas 8.09 hektar di Sedenak Tech Park di Johor.

 

Tambahnya, kerjasama kedua-dua pihak itu dimeterai dua hari lalu dan ia merupakan satu pencapaian penting bagi Malaysia kerana ia merupakan lokasi pertama DC-Science di luar China selepas membangunkan lebih daripada 300 pusat data di seluruh negara asalnya.

 

Butiran mengenai skop kerja akan dimuktamadkan selepas menandatangani perjanjian tambahan antara DCS dan MN Holdings, katanya.

 

“Mengikut perancangan semasa, utiliti untuk projek itu terdiri daripada beban kuasa 120MW dengan bekalan kuasa dwi untuk menyokong kemudahan 12,000 rak dengan purata bekalan air harian dijangka kira-kira 5,000 tan, manakala infrastruktur akses rangkaian akan tersedia.

 

“Fasa 1 projek itu dijadualkan untuk memulakan pembangunan tahun ini dan akan memulakan operasi pada separuh pertama tahun hadapan,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan MN Holdings, Loy Siong Hay berkata, syarikat itu mewakili Malaysia sebagai rakan kongsi pilihan DC-Science sekali gus akan memastikan projek sulung penyedia perkhidmatan pusat data itu berjaya dilancarkan di sini.

 

Tambahnya, kerjasama dengan DC-Science itu juga akan mengukuhkan lagi pengetahuan teknikal MN Holdings dalam pembinaan dan kejuruteraan pusat data.

 

Pada masa sama, katanya, kerjasama itu adalah bukti kepakaran teras MN Holdings dalam pembinaan utiliti bawah tanah, serta penyelesaian kejuruteraan substesen yang merangkumi pemasangan kabel penghantaran elektrik, saluran paip pembetungan dan saliran, serta pembinaan dan pentauliahan loji.

 

"Ia menandakan kepelbagaian lebih jauh asas pelanggan MN Holdings, berikutan kejayaannya dalam memanfaatkan penyertaan yang lebih besar dalam projek solar berskala besar dan kerja lain yang berkaitan dengan pusat data dan industri semikonduktor di sini.

 

"Kami berbangga untuk mengambil bahagian dalam pengembangan DC-Science di Malaysia dan ia mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan akan menjadi rangsangan untuk bakat tempatan yang menyokong industri pusat data yang berkembang pesat," katanya. 

 

Siong Hay berkata, perkongsian terbaharu dengan DC-Science akan memberikan rangsangan kepada kontrak dalam tangan hadapan MN Holdings yang berjumlah RM325.9 juta pada 20 Januari lalu.

 

Sehubungan itu, MN Holdings akan terus meneroka peluang dalam kalangan pelanggan tempatan dan antarabangsa bagi memanfaatkan kepakaran terasnya dalam utiliti bawah tanah dan kejuruteraan substesen untuk menyokong pertumbuhan negara dalam pendigitalan, tenaga dan telekomunikasi. - DagangNews.com