MISC terima AS$233.6 juta bayaran sewa dua unit penyimpanan terapung di Terminal LNG Regas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MISC terima AS$233.6 juta bayaran sewa dua unit penyimpanan terapung di Terminal LNG Regas

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Mei – MISC Berhad melalui anak syarikatnya, Gas Asia Terminal (L) Pte. Ltd. (GATL) telah memeterai perjanjian dengan Regas Terminal (Sg. Udang) Sdn. Bhd. (RGTSU) untuk bayaran sewa sebanyak AS$233.6 juta (kira-kira RM1.07 bilion).

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata bayaran tersebut merupakan  penyelesaian awal yuran sewa perbelanjaan modal yang perlu dibayar untuk baki tempoh sewa dua unit penyimpanan terapung (FSU) iaitu FSU Tenaga Satu dan FSU Tenaga Empat di Terminal Gas Asli Cecair (LNG) Regas Sg. Udang, Melaka.

 

MISC berkata jumlah tersebut akan dibayar sepenuhnya secara tunai dan kedua-dua FSU akan terus digunakan oleh RGTSU sehingga Ogos 2032.  

 

GATL adalah anak syarikat MISC yang terletak di Labuan dengan aktiviti utama membangunkan, memiliki dan mengendalikan unit penyimpanan terapung untuk gas asli cecair.

 

Sementara itu, RTGSU merupakan anak syarikat Petronas Gas Berhad yang mengendalikan terminal pengegasan semula LNG.

 

Kaunter MISC tidak berubah pada RM7.38, memberikannya modal pasaran sebanyak RM32.9 bilion. -DagangNews.com