Minyak sawit diunjur kekal berlegar RM5,500 satu tan metrik bagi 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Minyak sawit diunjur kekal berlegar RM5,500 satu tan metrik bagi 2022

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Julai - Stok simpanan minyak sawit mentah dijangka terus meningkat pada bulan-bulan akan datang setelah ia mencatat peningkatan 6.19% kepada 881,299 tan metrik pada Jun 2022 daripada 829,915 tan metrik pada bulan sebelumnya. 

 

Ini berikutan musim pengeluaran yang lebih tinggi, langkah kerajaan Indonesia mempercepatkan eksport minyak sawit dan ketiadaan pemangkin permintaan secara bermusim, menurut Hong Leong Investment Bank Research. 

 

Firma itu berkata, walaupun langkah Indonesia memansuhkan inventori minyak sawit mungkin akan menekan harga minyak sawit mentah dalam tempoh jangka pendek, tetapi penurunannya yang teruk baru-baru ini adalah berlebihan.

 

Katanya, ia memandangkan prospek bekalan minyak sayur-sayuran masih kekal tidak menentu dan terdapat beberapa pemangkin permintaan yang positif berikutan daya saing harga sawit yang bertambah baik.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan anggaran minyak sawit mentah bagi 2022 hingga 2024 masing-masing pada RM5,500, RM4,500 dan RM3,800 satu tan metrik. 

 

"Sejak Mac 2022, harga minyak sawit mentah telah susut lebih 45% daripada paras tertinggi RM8,074 tan metrik, kepada purata RM6,209 satu tan metrik setakat ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Stok minyak sawit meningkat 6.19% kepada 881,299 tan metrik pada Jun 2022 - MPOB

 

Data yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan inventori minyak sawit diproses meningkat 11.83% bulan ke bulan kepada 773,774 tan metrik daripada 691,911 tan metrik.

 

Secara keseluruhan, stok minyak sawit menambah 8.76% kepada 1.66 juta tan metrik daripada 1.52 juta tan metrik sebelum itu.

 

Bagi pengeluaran, output minyak sawit mentah meningkat 5.76% kepada 1.545 juta tan metrik berbanding 1.461 juta tan metrik pada Mei 2022.

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, walaupun pengeluaran minyak sawit mentah meningkat bulan ke bulan kepada 1.55 juta tan metrik tetapi, ia lebih rendah jika dibandingkan dengan tahun berikutnya diheret turun pengeluaran yang lebih rendah dari Sabah dan Pahang. 

 

"Namun, kami menjangkakan pengeluaran minyak sawit akan bertambah baik pada separuh kedua terutama dengan kedatangan pekerja buruh.

 

"Ini juga akan menyaksikan stok simpanan minyak sawit yang lebih baik pada suku kedua hingga ketiga didorong kitaran pengeluaran yang tinggi," katanya.

 

Firma itu turut menjangkakan harga minyak sawit mentah kekal tinggi pada separuh kedua ini terutamanya disokong harga minyak sayur-sayuran boleh dimakan yang lebih tinggi di tengah-tengah kebimbangan bekalan ekoran krisis Rusia-Ukraine yang masih berpanjangan. 

 

Selain itu, katanya, prospek pengeluaran kacang soya yang lemah bagi 2022/2023 disebabkan kedatangan La Nina buat tahun ketiga berturut-turut di Amerika Selatan seperti Brazil dan Argentina dan permintaan yang dijangka bertambah baik turut menyokong harga minyak sawit mentah. 

 

"Namun, di sebalik pandangan positif kami terhadap sektor perladangan, kami turut mnejangkakan harga minyak sawit mentah akan berkurangan pada separuh kedua tetapi secara beransur-ansur ekoran kebimbangan tekanan inflasi global selepas harga komoditi ini mencecah paras tertinggi pada separuh pertama. 

 

"Susulan itu, kami mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah tahun ini pada RM5,500 satu tan metrik. Malah, kami turut mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor ini," katanya. - DagangNews.com