Minetech terima projek kerja jalan RM2.56 juta daripada OSK Property | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Minetech terima projek kerja jalan RM2.56 juta daripada OSK Property

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Mei - Minetech Resources Berhad, melalui anak syarikatnya, Minetech Construction Sdn Bhd telah menerima projek kerja jalan dan saliran bernilai RM2.56 juta daripada Aspect Synergy Sdn Bhd.

 

Aspect adalah anak syarikat OSK Property Holdings Berhad, pemaju hartanah dengan projek di seluruh Semenanjung Malaysia.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, kumpulan kejuruteraan awam dan pengeluar produk bitumen itu berkata projek itu telah bermula pada 9 Mei 2023 untuk tempoh empat bulan.

 

Projek itu adalah sebahagian daripada Fasa 3 Taman Iringan Bayu yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan.

 

Pengarah Eksekutif Minetech, Matt Chin berkata projek tersebut menambah sokongan yang dibawa oleh bahagian kejuruteraan awam kepada kumpulan tersebut memandangkan projek ini juga akan menggunakan aset di bawah bahagian produk bitumen, iaitu penyumbang utama lain kepada pendapatan.

 

 

Matt Chin
Matt Chin

 

 

"Kami kekal optimistik secara berhati-hati terhadap prospek dan akan terus mencari projek yang boleh menggunakan aset bahagian penyumbang utama kami.

 

“Pada masa yang sama, kami memberi tumpuan kepada membina usaha baharu dalam teknologi kewangan dan tenaga boleh diperbaharui yang mempunyai pertumbuhan jangka panjang dan boleh memberikan pendapatan berulang,” tambahnya. -DagangNews.com