MIDF Research positif projek pemasangan sistem solar PV tingkatkan margin keuntungan Aeon | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIDF Research positif projek pemasangan sistem solar PV tingkatkan margin keuntungan Aeon

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 April - MIDF Research positif terhadap projek pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) 77,000 kWp di pusat beli-belah dan pasar raya Aeon Co. (M) Berhad di seluruh negara yang akan meningkatkan margin keuntungan.

 

Firma penyelidikan itu berkata pemasangan sistem solar PV itu bakal mengurangkan penggunaan elektrik sebanyak kira-kira 30% justeru mengurangkan kos input dan meningkatkan margin, di mana pada tahun kewangan 2022 (FY22), kos tenaga berjumlah 5 hingga 6% daripada jumlah perbelanjaan operasi.

 

Semalam dilaporkan bahawa Aeon telah menandatangani perjanjian dengan GSPARX Sdn Bhd, anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memasang dan menyelenggara sistem solar PV 77,000 kWP di Aeon Mall dan Aeon Big di seluruh negara selama 25 tahun.

 

“Berdasarkan semakan saluran kami, perjanjian itu terletak di bawah model penggunaan sendiri (SELCO) TNB, dengan inisiatif menjana elektrik daripada sistem solar PV untuk mengimbangi atau menurunkan bil elektrik,” katanya dalam nota hari ini.

 

Menurut firma itu, model SELCO membolehkan penggunaan semua elektrik yang dihasilkan oleh panel solar tetapi sebarang lebihan tidak boleh memasuki rangkaian utiliti dan selalunya berguna untuk bangunan seperti pusat membeli-belah dengan penggunaan elektrik harian berterusan.

 

Sementara itu, kos pemasangan sistem solar PV di bawah perjanjian adalah sifar perbelanjaan disebabkan GSPARX memiliki sistem tersebut dan Aeon tidak menanggung sebarang kos untuk pasang dan selenggara panel solar ini.

 

“Kami dimaklumkan bahawa TNB akan menampung kos pemasangan (RM3 hingga 4 juta) sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosialnya terhadap alam sekitar dan inisiatif untuk memotivasikan pelanggan mengambil bahagian dalam program tenaga boleh diperbaharui bagi memenuhi sasaran sifar bersih menjelang 2050 justeru Aeon hanya perlu membayar kadar tenaga solar bulanan,” tambahnya.

 

Firma itu tidak membuat semakan pada ramalan pendapatan tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) disebabkan sebelum ini, pengurusan telah menekankan sasaran FY23 untuk memasang sistem solar PV di semua pusat beli-belah Aeon dalam taklimat penganalisis.

 

Menurut firma itu, Aeon menjadi pilihan utamanya bagi sektor pengguna disebabkan prospek FY23 disokong oleh inisiatif kumpulan mengembangkan rangkaian jenama dan label persendirian, dan kecekapan kos yang berkesan untuk mengekalkan margin keuntungan.

 

Firma tersebut juga optimis kumpulan itu akan mendapat manfaat daripada peningkatan aktiviti luar rumah berikutan pembukaan semula sempadan dan ekonomi.

 

MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.90 sesaham. -DagangNews.com