MIDF Research kekal saranan 'beli' untuk Astro dengan jangkaan adex terus meningkat | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal saranan 'beli' untuk Astro dengan jangkaan adex terus meningkat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 April - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' bagi saham Astro Malaysia Holdings Berhad dengan harga sasaran (TP) RM1.18 dengan menjangkakan perbelanjaan pengiklanan (adex) akan bertambah baik sebaik pembukaan semula ekonomi negara.

 

Firma itu juga optimis dengan pembangunan di dalam kumpulan itu termasuk kerjasama baharu bersama Netflix dan perancangan untuk menjadi pembekal perkhidmatan internet yang akan membantu meningkatkan purata pendapatan setiap pengguna (ARPU).

 

"Selepas pendapatan mereka mencapai jangkaan, kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran bagi FY23 dan FY24.

 

"Astro mengumumkan pemberian dividen sebanyak 2.25 sen untuk 4QFY22 menjadikan jumlah keseluruhan dividen untuk FY22 sebanyak 6.75 sen," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan Astro bagi FY22 meningkat sebanyak 28.4% kepada RM4.18 bilion namun pendapatan bagi segmen televisyen adalah sdikit rendah iaitu RM3.63 bilion atau penurunan 2.9% akibat penurunan dari segi langgan.

 

BACA JUGA: Astro catat hasil lebih rendah pada FY22, terjejas akibat pandemik COVID-19

 

Bagaimanapun, ia berjaya diimbangi dengan pertambahan adex dan jualan yang tinggi untuk hak penyiaran program. 

 

Sementara itu, pendapatan daripada segmen radio meningkat kepada RM164.5 juta iaitu pertambahan 2.4% kesa daripada pembukaan semula sektor ekonomi dan sempadan negeri selain sambutan perayaan yang turut menyumbang kepada peningkatan adex.

 

"Dalam pada itu, segmen jualan untuk barangan rumah menurun kepada RM381.2 juta atau 17.3% akibat ketakutan orang ramai untuk berbelanja yang didorong oleh kawalan pergerakan dan banjir kilat yang menjejaskan jualan serta pengeluaran.

 

"Margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi FY22 sedikit menurun iaitu 0.3% manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) juga menurun sebanyak 11.2% kepada RM474 juta," katanya. - DagangNews.com