MIDF Research jangka kemasukan pekerja asing meningkat pada suku ketiga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIDF Research jangka kemasukan pekerja asing meningkat pada suku ketiga

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 April - Pekerja asing dijangka memasuki negara ini dalam kadar sederhana di sebalik pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April lalu. 

 

MIDF Research berkata, ini berlaku di tengah-tengah peraturan buruh yang lebih ketat dan langkah-langkah mengawal penularan pandemik COVID-19.

 

"Bagaimanapun, kami percaya kemasukan semula pekerja asing ini akan meningkat pada suku ketiga 2022 dan seterusnya, terutama dengan tiada penemuan varian baharu yang berisiko," katanya dalam nota kajiannya hari ini.

 

Firma itu mengulas kenyataan yang dikeluarkan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) semalam yang berharap proses permohonan bagi mempercepatkan kelulusan dan kemasukan pekerja asing adalah lebih jelas dan konsisten.

 

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, ini adalah untuk menyokong keperluan tenaga kerja industri kerana sebarang kelewatan selanjutnya dalam mendapatkan pekerja akan secara serius menghalang pertumbuhan industri dan perniagaan serta perjalanan dalam memulihkan ekonomi negara.

 

Seperti dinyatakan dalam laporan tematik MIDF Research bertarikh 23 Februari lalu, ia menyaksikan pengambilan pekerja asing jatuh lebih daripada 100,000 dalam tempoh 2020-2021. 

 

Malah, hampir 450,000 bukan warganegara meninggalkan Malaysia ketika tempoh mencabar itu akibat penularan wabak COVID-19 dan juga ketidaktentuan ekonomi domestik.

 

Menurutnya, masalah kekurangan buruh merupakan antara kebimbangan utama di Malaysia dan juga ekonomi global terutama bagi tempoh selepas pandemik.

 

Jelasnya, negara-negara yang bergantung kepada pekerja asing akan mengalami kesukaran terutama apabila pergerakan buruh adalah terhad.

 

"Tetapi, dengan pembukaan semula sempadan ini, kami melihat kemasukan semula pekerja asing dalam pasaran buruh akan mengisi kekosongan bagi pekerjaan berkemahiran rendah, meningkatkan kapasiti operasi perniagaan dan juga aktiviti domestik," katanya.

 

Namun, secara keseluruhan, firma itu melihat pasaran buruh di Malaysia akan kembali pulih berdasarkan kepada peningkatan kadar kerja kosong dan juga prospek ekonomi yang menyakinkan.

 

Oleh itu, ia mengekalkan kadar pengangguran tahun ini pada 4%, lebih jauh berbanding paras sebelum pandemik, 3.4%.

 

"Pembukaan semula sempadan akan memberi manfaat kepada sektor, antaranya, penerbangan, pelancongan dan perkhidmatan mulai April dan seterusnya," tambahnya. - DagangNews.com