Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 17 Sept. - Firma penyelidikan, MIDF Research menyemak turun penarafan ke atas saham MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) daripada ‘beli’ ke pada ‘neutral'.
Semak turun itu dibuat walaupun firma berkenaan positif terhadap perkembangan pelupusan anak syarikat MSM di Perlis, MSM Perlis Sdn Bhd (MSM Perlis) yang dijangka dapat menambah baik produktiviti kumpulan selain meningkatkan prestasi segmen eksportnya.
“Walaupun kami menjangkakan perkembangan dan prospek positif, tetapi kami menyemak turun MSM kepada ‘neutral’ daripada ‘beli’ memandangkan kami percaya semua aspek positif telah diambil kira.
“Harga sasaran (TP) kami tidak berubah pada kadar RM1.74 dan bagi unjuran kadar hasil dividen, ia menunjukkan jangkaan jumlah pulangan pada 3.46%,” jelas firma itu dalam satu nota kajian.
Pada 15 September lalu, MSM mengumumkan pemegang saham telah meluluskan penjualan semua kepentingan ekuiti di dalam MSM Perlis kepada FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF).
Pelupusan itu melibatkan penjualan awal berjumlah RM175 juta tunai yang merangkumi 11 bidang tanah pertanian dan perindustrian, tertakluk kepada pelarasan modal kerja bersih dan hutang bersih setelah selesai urusan pelupusan seperti yang dicadangkan.
Baca : Pelupusan MSM Perlis kepada FGV Integrated Farming dapat kelulusan pemegang saham
Pelupusan keseluruhan kepentingan ekuiti di MSM Perlis dianggarkan memberikan hasil sebanyak RM91.6 juta selepas proses penjualan tersebut selesai.
Di sebalik semak turun itu, MIDF bagaimanapun optimis terhadap peningkatan prestasi kewangan kumpulan yang berterusan, seperti mana dicerminkan dalam keputusan separuh pertama tahun kewangan 2021 (1HFY21).
Melangkah ke hadapan, MIDF menjangkakan permintaan daripada segmen eksport akan terus berprestasi baik memasuki 2HFY21.
“Namun, hasil kumpulan mungkin terjejas akibat prestasi yang lemah daripada segmen borongnya,” tambah MIDF.
MIDF tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran perolehan MSM bagi FY21, FY22 dan FY23, di mana masing-masing dikekalkan pada RM140.2 juta, RM163.3 juta dan RM182.6 juta sementara menunggu langkah pelupusan itu selesai.
Ketika laporan ditulis, harga saham MSM menokok 1 sen kepada RM1.76. - DagangNews.com








