KUALA LUMPUR 23 Okt - Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pusat Promosi Pelaburan Ghana untuk membuka pintu kepada pelabur dan usahawan dari kedua-dua belah negara mengembangkan perniagaan.
Naib Presiden MICCI, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjurus kepada pengembangan pelaburan di antara Malaysia dan negara luar, ia adalah usaha untuk menarik pelaburan asing, selain merangsang ekonomi perdagangan dan pelaburan dua hala.
"MICCI turut berperanan membantu syarikat-syarikat antarabangsa ke Malaysia, serta membuka peluang syarikat tempatan melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa, yang mana mungkin Ghana menjadi pintu masuk eksport ke benua Afrika," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Terdahulu, pada majlis menandatangani MoU tersebut MICCI diwakili oleh Azman, manakala Ghana di wakili oleh pengarah bahagian perkhidmatan pelaburnya, Edward Ashong Lartey.
Sementara itu, kerjasama dan hubungan dagang yang terjalin sejak sekian lama di antara Malaysia dan Ghana akan terus diperkukuhkan serta diperbaharui menerusi bidang pembuatan, teknologi maklumat dan komunikasi, kesihatan dan pelancongan.
Kesepakatan tersebut dicapai melalui Forum Perdagangan Malaysia dan Ghana yang dihadiri lebih 100 delegasi dari kedua-dua buah negara di ibu negara yang berlangsung selama empat hari.
Menurut Pengurus Bahagian Tengah, Barat, Asia & Afrika Selatan Bahagian Promosi Eksport & Akses Pasaran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Muhd Hariri Zainal Abidin, Ghana antara negara dagang yang penting dan eksport terbesar negara.

"Kita melihat Ghana sebagai rakan dagangan penting yang mana sebahagian besarnya eksport Malaysia ke sana adalah minyak sawit serta produk petroleum.
"Justeru, sasaran kita ialah memperluaskan produk eksport ke Ghana sektor seperti pemprosesan makanan, produk kimia serta peralatan mesin. Bahkan banyak lagi sektor yang boleh ditawarkan di sana," katanya.
Ketua Delegasi Ghana merangkap Timbalan Menteri Luar Negeri Ghana, Hon Kwaku Ampratwum - Sarpong pula berkata, sudah tiba masanya usahawan dari kedua belah pihak merancang meningkatkan hubungan dua hala dalam perdagangan dan pelaburan.

"Kedatangan kami ke sini diharapkan dapat memanfaatkan peluang yang wujud di Malaysia dan melihat cara terbaik untuk menarik pelaburan disamping mengeratkan hubungan di antara Ghana dan Malaysia. Zaman ini, faktor jarak bukan lagi masalah utama," katanya.
Edward pula menambah, tujuan forum B2B tersebut adalah untuk menjalin kerjasama dalam bidang baharu sesuai dengan persekitaran semasa.
Katanya, pihaknya mahu melihat sektor pembuatan lebih mendalam lagi, contohnya OEM untuk industri automotif dan pemprosesan termasuk sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), perkhidmatan kewangan, kesihatan dan juga pelancongan. - DagangNews.com







