MGB diunjur catat pertumbuhan kukuh bagi FY23 didorong persekitaran buruh lebih baik - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

MGB diunjur catat pertumbuhan kukuh bagi FY23 didorong persekitaran buruh lebih baik - RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR  10 Feb - MGB Bhd dijangka merekodkan pertumbuhan hasil yang lebih kukuh, meningkat 20% tahun ke tahun (YoY) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23), disokong persekitaran tenaga buruh yang lebih baik, kata RHB Investment Research. 

 

Firma itu berkata, sebanyak 70% daripada 250 kuota pekerja yang diluluskan sudah memasuki Malaysia dan terdapat kemajuan pembayaran yang lebih baik pada projek tertentu terutamanya KITA @ Cybersouth, Dengkil, Selangor.

 

“Kami menjangkakan keuntungan teras suku keempat MGB adalah mendatar bagi suku ke suku (QoQ), mencecah RM3 hingga RM5 juta di tengah-tengah tekanan buruh yang masih ada, mencerminkan penurunan pendapatan teras bagi FY22 lebih daripada 40%.

 

"Namun begitu, MGB sepatutnya menyaksikan pertumbuhan pendapatan kukuh lebih daripada 20% YoY tahun ini, disokong oleh persekitaran buruh yang lebih baik," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagi FY22, MGB telah memperoleh kontrak dalaman daripada LBS Bina Group Bhd bernilai RM397 juta, sedikit rendah daripada jumlah RM450 juta yang dijangka oleh RHB Research mengikut andaiannya terhadap penambahan kontrak tahun itu.

 

Firma penyelidikan itu juga menganggarkan tunggakan nilai kontrak pembinaan MGB terkini adalah kira-kira RM1.9 bilion pada akhir FY22, meletakkan nisbah perlindungan nilai kontraknya kepada hasil sebanyak 3.3 kali.

 

MGB telah merancang untuk melancarkan rumah teres satu tingkat dan dua tingkat serta rumah bandar di dalam KITA Bestari yang merupakan sebahagian daripada pembangunan perbandaran utama LBS, KITA @ Cybersouth.

 

Projek itu terdiri daripada 817 unit dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM418 juta, kata RHB Research.

 

"Kami percaya MGB bersedia untuk mendapat manfaat daripada pelancaran itu, berdasarkan penglibatannya dalam pembinaan KITA Mekar, KITA Ria, KITA Mesra dan KITA Sejati (nilai kontrak kumulatif: RM601 juta)," jelasnya.

 

Walaupun perolehan nilai kontrak sebenar bagi FY22 adalah rendah sedikit daripada andaian awal sasaran RHB Research, ia berpendapat bahawa hasil suku keempat 2022 akan disokong oleh kemajuan pembayaran yang lebih tinggi daripada Residensi Bintang dan Mercu.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap MGB dengan harga sasaran (TP) pada 64 sen sesaham. 

Setakat 11:44 pagi ini, harga saham syarikat pembinaan itu naik 1% kepada 52.5 sen sesaham. – DagangNews.com