KUALA LUMPUR 28 Jun - Mercury Securities memberi harga sasaran pada 60 sen terhadap DC Healthcare Holdings Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Saranan itu adalah berdasarkan kepada pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2024 (FY24) sebanyak 2.5 sen dan harga perusahaan 24 kali sejajar dengan purata pemain industri lain.
"Firma itu menyukai saham itu kerana rancangan pengembangannya yang menarik dan keupayaan teknikal yang tinggi, berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan pasaran perubatan estetik Malaysia yang diramalkan berkembang pada kadar pertumbuhan purata tahunan (CAGR) enam tahun sebanyak 18.8% dari 2021 hingga 2027.
"Kumpulan mempunyai 11% bahagian pasaran mengikut nilai perniagaan dalam pasaran perubatan estetik di Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, kumpulan itu merancang untuk mengembangkan klinik sedia ada dengan menubuhkan lapan klinik perubatan estetik baharu di wilayah Utara dan Selatan dalam tempoh 18 bulan selepas penyenaraian.
Katanya, mereka juga merancang untuk mengukuhkan pasukan Pakar Perubatan Estetik Bertauliah LCP, perunding klinik, doktor perubatan pemastautin dan kakitangan sokongan lain melalui pengambilan kakitangan yang berkemahiran tinggi dan berpengalaman.
"Kumpulan itu mempunyai 29 doktor perubatan pemastautin yang sedang menjalani latihan di bawah pengawasan Pakar Estetik Bertauliah LCP dan bercadang untuk memperuntukkan kira-kira RM13.9 juta (27.9% daripada hasil IPO) untuk merekrut tambahan enam pakar perubatan estetik.
"Pada masa sama mereka juga akan menambah lagi 16 doktor perubatan, 56 perunding klinik dan 16 kakitangan pengurusan/pentadbiran selepas penubuhan klinik estetik baharu yang akan mengukuhkan kehadiran tempatannya pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com







