KUALA LUMPUR 26 April - Bursa Malaysia Securities Bhd mengeluarkan pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) terhadap Menang Corp (M) Bhd hari ini ekoran kenaikan mendadak dalam harga saham dan jumlah dagangannya baru-baru ini .
Hari ini kaunter itu dibuka pada 88.5 sen, melonjak 3.4% untuk mencecah paras tertinggi harian 91.5 sen melebihi julat satu tahunnya dan tertinggi dalam lebih 20 tahun.
Setakat pukul 2:26 petang hari ini, kaunter tersebut menyusut satu sen atau 1.14% kepada 87 sen daripada penutupan Selasa (25 April) sebanyak 88 sen.
Sebanyak 2.39 juta saham telah diniagakan, memberikannya permodalan pasaran RM443.22 juta.
Saham Menang Corp telah meningkat bermula akhir Mac dan merekodkan kenaikan 24.29% sepanjang minggu lalu daripada 70 sen pada 20 April dan 81.25% setakat ini bagi 2023.
Dalam pertanyaan kepada syarikat itu hari ini, Bursa Malaysia meminta Menang mendedahkan sebarang perkembangan korporat, khabar angin atau laporan mengenai perniagaan dan hal ehwal kumpulan itu dan sebarang kemungkinan alasan lain yang mungkin menyebabkan UMA.
Pada 24 Mac, bekas pengarah Menang, Dr Christopher Shun Kong Leng tidak lagi menjadi pemegang saham besar syarikat itu selepas melupuskan keseluruhan pegangan sahamnya sebanyak 48.13 juta saham atau 9.45% kepentingan melalui urus niaga perniagaan langsung pada 22 Mac.
Beliau telah dilantik sebagai lembaga pengarah Menang pada Februari 1991 dan meletak jawatan sebagai pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif pada Januari 2021.
Keuntungan bersih Menang bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2022 (2QFY23) meningkat kepada RM3.59 juta daripada RM1.69 juta setahun sebelumnya disebabkan perbelanjaan faedah dan cukai yang lebih rendah.
Pendapatan pada suku tersebut juga meningkat kepada RM22.18 juta berbanding RM21.76 juta sebelumnya. -DagangNews.com








