KUALA LUMPUR 8 Mei - MEASAT Global Berhad menyediakan perkhidmatan satelit mudah alih untuk Mont Aero Sdn Bhd, sebuah syarikat pakar penyelesaian teknologi dalam industri minyak dan gas serta maritim.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, penyedia penyelesaian satelit itu telah menggunakan perkhidmatan mudah alih, Communications-on-the-Pause (COTP) untuk Mont Aero bagi memudahkan jurutera lapangan menggunakan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan yang mempunyai liputan lemah.
COTP membolehkan jurutera lapangan Mont Aero melaksanakan tugas di darat dan luar pesisir yang memerlukan komunikasi langsung atau pertukaran maklumat segera
Ketua Pegawai Komersial di MEASAT, Ganendra Selvaraj gembira dengan kerjasama tersebut yang mengembangkan portfolio Perkhidmatan Terurus Mobiliti kumpulan justeru mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian satelit Malaysia dengan rangkaian perkhidmatan komprehensif untuk pelbagai industri.

"Kejayaan yang dibina dengan menjalinkan hubungan komuniti luar bandar dan perniagaan di lokasi yang tidak mempunyai liputan internet, kami kini mengembangkan penyelesaian dan penawaran perkhidmatan, baik di darat mahupun luar pesisir," katanya.
Sementara itu Pengarah Urusan Mont Aero, Alimin Hafizi Aminudin berkata perkhidmatan tersebut menyokong kecekapan kerja kakitangan mereka bagi memenuhi keperluan pelanggan.
“Dengan perkhidmatan COTP, kakitangan kami boleh menyelaras secara langsung antara pasukan di lapangan, membolehkan mereka menyelesaikan pemasangan yang rumit walaupun di tapak terpencil di darat atau luar pesisir dengan kecekapan yang lebih tinggi dan akhirnya meningkatkan kepuasan pelanggan,” tambah Alimin.
MEASAT berkata perkhidmatan Lebar Jalur Terurus Mobiliti tersedia di seluruh kumpulan satelitnya dan sesuai untuk pelbagai aplikasi di kawasan tanpa liputan telekomunikasi. -DagangNews.com








