MCIS Life sumbang RM1 juta untuk penanaman 5,000 pokok di Iskandar Puteri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCIS Life sumbang RM1 juta untuk penanaman 5,000 pokok di Iskandar Puteri

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Julai - MCIS Insurance Bhd (MCIS Life) akan menyalurkan sebanyak RM1 juta untuk tujuan penanaman 5,000 pokok hutan hujan dalam lokaliti tapak kelestarian perintisnya yang dikenali sebagai MCIS Life Legacy Forest di Sireh Park, Iskandar Puteri, Johor. 

 

Peluasan ketara kepada projek perintisnya yang diumumkan pada 2019 yang mana 1,280 anak pokok telah ditanam antara 2020 dan 2022 di lokasi sama, penambahan baharu ini akan meningkatkan jumlah spesies pokok hutan hujan endemik di tapak kepada lebih daripada 45 jenis. 

 

Pengerusi MCIS Life, Mohammad Nizar Idris berkata, ia adalah sumbangan proaktif pihaknya ke arah pemeliharaan dan perlindungan alam sekitar untuk mengurangkan kesan perubahan iklim, selepas pemantauan rapi terhadap kesan projek perintis selama tiga tahun.

 

"Secara asasnya, kami menyumbang untuk masa hadapan kerana mengambil tindakan bersepadu dalam usaha menentangi kesan pemanasan global adalah tanggungjawab bersama.

 

"Kami menerajui jalan ini untuk membendung kehilangan biodiversiti melalui penanaman pokok hutan hujan endemik yang terpilih kerana ia dapat membantu dalam pengimbangan karbon," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut Mohammad Nizar, lembaga pengarah dan pengurusan MCIS Life bukan setakat melihat isu kemampanan sebagai sebahagian daripada faktor kejayaan dan rancangan pertumbuhan syarikat sahaja. 

 

"Kami memahami kepentingan tindakan yang konsisten ke arah penambahbaikan persekitaran semula jadi, membina masa depan yang lebih baik dan membantu membentuk populasi yang lebih sihat," katanya.

 

 

mcis

 

 

Inisiatif penanaman pokok hutan hujan endemik MCIS Life adalah antara pelan tindakan insurans hayat ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terutamanya SDG 13 yang memfokuskan Tindakan Memerangi Perubahan Iklim. 

 

MCIS Life telah melibatkan pihak berkepentingan yang melingkungi para pekerja, rakan pengedaran, pelanggan, dan komuniti tempatan termasuk pelajar sekolah, dalam usahanya untuk meningkatkan kesedaran terhadap ancaman pemanasan global dan perubahan iklim.   

 

 

mcis

 

 

5,000 anak pokok baharu, yang kini sedang ditanam secara berperingkat akan selesai menjelang Ogos 2023. 

 

Ditambah dengan 1,280 pokok sedia ada di lokasi tersebut, dijangka kira-kira 567 tan karbon dapat diimbangkan secara kolektif menjelang 2029 apabila pokok-pokok itu matang seiring dengan masa.

 

 

mcis

 

 

Inisiatif penanaman pokok terbaharu ini merupakan kerjasama strategik antara MCIS Life dan The Nusajaya Natural Heritage Trust (TNNHT), sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang memiliki dan mengendalikan Sireh Park.

 

Sireh Park merupakan sebuah taman warisan semula jadi mampan bertaraf dunia yang memfokuskan pada pemuliharaan, pendokumentasian dan pempromosian biodiversiti tumbuhan yang wujud secara semula jadi di kawasan itu.

 

Menurut laporan tahunan MCIS Life bagi tempoh berakhir 31 Disember 2022, inisiatif perintis yang melibatkan 1,280 pokok telah menyumbang kepada anggaran 30.03 tan pengimbangan karbon untuk tempoh pelaporan, peningkatan daripada anggaran 17.6 tan yang dicatatkan setakat 31 Disember 2021. - DagangNews.com