MCIS Life Malaysia Women Marathon jelajah ke Ipoh pada 21 Ogos 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCIS Life Malaysia Women Marathon jelajah ke Ipoh pada 21 Ogos 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Acara larian 'MCIS Life-Malaysia Women Marathon' (MCIS Life MWM) 2022 kembali mewarnai siri kedua sempena ulang tahun ke-10 larian tersebut kali ini di Ipoh, Perak pada 21 Ogos 2022.

 

Larian siri pertama telah diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya pada Mei lepas, di mana 1,000 peserta berkumpul bersama untuk acara sukan pasca pandemik. 

 

Acara sebelum ini telah diadakan dengan pematuhan ketat kepada garis panduan keselamatan bagi menghindari penularan wabak COVID-19. 

 

Ketua Pengagihan dan Pemasaran MCIS Life, Ragunath Murthy berkata, wanita mempunyai pengaruh yang besar di dalam masyarakat bagi mengetengahkan kepentingan gaya hidup sihat. 

 

"Tahun ini merupakan tahun pertama di mana acara larian ini diadakan di luar Lembah Klang dan Ipoh merupakan lokasi pertama kami.

 

“Bandaraya Ipoh berbesar hati untuk menyambut kedatangan peserta MCIS Life - MWM 2022, lebih-lebih lagi yang datang dari bandar lain. Larian ini merupakan salah satu aktiviti meraikan Bulan Kemerdekaan di Ipoh. Malah, laluan larian ini menelusuri lokasi dan bangunan bersejarah bermula dari Padang Ipoh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

mcis
Ragunath Murthy

 

 

Pengarah Acara MCIS Life MWM, Karen Loh pula berkata, terdapat kelainan daripada segi kategori larian juga, acara maraton penuh beregu diperkenalkan di mana dua individu boleh berpasangan dan setiap seorang berlari untuk 21 kilometer. 

 

"Gabungan jarak dan masa mereka akan digunakan sebagai rekod larian. Ini bermakna, anda kini boleh melengkapkan jarak penuh maraton dengan lebih mudah jika anda mendaftar sebagai pasangan beregu," katanya.

 

 

mcis

 

 

Ikuti maklumat dan butiran lanjut terkini melalui media sosial MCIS Life dan Malaysia Women Marathon. - DagangNews.com