McDonald's Malaysia taja hidangan moreh kepada 300 masjid, surau  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

McDonald's Malaysia taja hidangan moreh kepada 300 masjid, surau 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 April - McDonald’s Malaysia meneruskan acara tahunannya menaja jamuan moreh di 300 buah masjid dan surau di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan ini.  

 

Istimewanya tahun ini, acara yang dijenamakan sebagai Misi Moreh Mekdi itu memperluaskan tajaan jamuan moreh ke universiti awam di seluruh negara dalam usaha menyantuni komuniti.

 

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, setiap tahun pihaknya akan mengadakan inisiatif-inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti di sekitar lokasi mereka beroperasi. 

 

Katanya, tajaan jamuan moreh di bulan Ramadan ini merupakan acara tahunan McDonald’s Malaysia sejak sembilan tahun lalu dan merupakan satu inisiatif yang dekat di hati mereka.

 

“Pada tahun ini, acara tajaan moreh dijenamakan sebagai Misi Moreh Mekdi dan diperluaskan lagi edarannya meliputi univesiti awam terpilih di seluruh negara. 

 

"Ini adalah bagi memberi kegembiraan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dan berjauhan dengan keluarga untuk sama-sama menikmati menu kegemaran masyarakat Malaysia ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sejak dari 1 Ramadan tahun ini, Misi Moreh Mekdi mula menjelajah ke pelbagai lokasi masjid dan surau, antaranya Masjid Saidina Hamzah dan Masjid Al-Hidayah Sentul, di sini.

 

 

mcd

 

 

mcd

 

 

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Al-Hidayah Sentul, Hairul Anwar Ashaari berkata, sumbangan moreh oleh McDonald’s Malaysia sangat membantu pihak pengurusan masjid dalam usaha mengimarahkan masjid dan surau. 

 

Katanya, tajaan moreh tersebut secara tidak langsung dapat memberi keselesaan kepada para jemaah bermalam di masjid dan surau untuk beribadah pada bulan Ramadan ini tanpa rasa lapar. 

 

"Tambahan pula, kebanyakan jemaah di sini terdiri daripada golongan B40 yang tinggal di tujuh blok flat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur," katanya.

 

 

mcd

 

 

mcd

 

 

Tambah Hairul, tajaan tersebut dapat mengalakkan kehadiran komuniti sekeliling untuk hadir ke masjid di samping menghidupkan suasana Ramadan yang penuh keberkatan ini.

 

“Hasrat saya supaya Misi Moreh Mekdi dapat diteruskan pada masa akan datang. Kami bersyukur McDonald’s sudi menginfaqkan bantuan kepada masjid," katanya. - DagangNews.com