KUALA LUMPUR 23 Mac - McDonald's Malaysia diiktiraf sebagai 'Brand of the Year - Malaysia's Best in Sustainability Leadership Award' semasa Top Asia Corporate Ball Event 2022/2023 anjuran Top 10 of Malaysia dan Top 10 of Asia Initiative, sebuah penyelidikan dan organisasi berasaskan media.
McDonald's Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, ia menandakan kali pertama pihaknya menerima anugerah berprestij itu.
Katanya, ia merupakan pengiktirafan terhadap usahanya ke arah melaksanakan amalan mampan dan menggalakkan penglibatan masyarakat melalui pelbagai inisiatif di seluruh negara.
Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Dato’ Azmir Jaafar berkata, pihaknya berbesar hati menerima anugerah ini yang merupakan bukti dedikasi mereka terhadap kemampanan dan usaha dalam memberi impak positif kepada masyarakat.
"Dengan pengiktirafan ini, kami berharap dapat menjadi teladan kepada organisasi lain dalam industri,” katanya.
Top Asia Corporate Ball Event memberi penghormatan kepada 'yang terbaik daripada yang terbaik', dan meraikan pencapaian personaliti terkemuka, syarikat dan juga negara di Asia. - DagangNews.com








