KUALA LUMPUR 20 Jan - McDonald's Malaysia menerusi Ronald McDonald House Charities (RMHC) memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta pada 2022 bagi bantuan “Kembali ke Sekolah” yang diedarkan kepada kira-kira 25,000 pelajar sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara.
Pek itu sedang giat diedarkan secara berperingkat sebelum bermulanya sesi persekolahan tahun ini pada Mac.
Terdahulu, RMHC mengedarkan pek Kembali ke Sekolah kepada 260 pelajar Sekolah Kebangsaan (Felda) Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan, yang bernilai RM26,000.
Selain itu, sekolah turut menerima sumbangan sebanyak RM15,000 daripada Yayasan Jaafar Ahmad untuk membantu menubuhkan Kelab Pengekodan dan Robotiknya bawah program Felda Digital Maker Hub, yang ditubuhkan bagi mentransformasikan pendidikan digital di sekolah Felda.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, beliau berharap sumbangan itu dapat menyuntik semangat para pelajar dan membuka jalan kejayaan mereka pada masa depan.
“Sebagai anak peneroka Felda, saya rasa sudah menjadi tanggungjawab untuk menyumbang ke arah kebajikan anak-anak Felda di sini.
"SK Pasir Besar adalah tempat saya mendapat pendidikan sekolah rendah dan saya amat terhutang budi kepada guru-guru saya pada masa itu.

"Saya ingin berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan dan sumbangan peribadi melalui Yayasan Jaafar Ahmad ini adalah sebagai tanda penghargaan saya kepada sekolah yang telah membentuk saya menjadi seperti sekarang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yayasan Jaafar Ahmad ialah sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh Azmir, yang mana penubuhan yayasan ini sebagai penghormatan kepada bapa Azmir.

Ia bertujuan membantu mereka yang memerlukan di sekitar Negeri Sembilan melalui inisiatif bermanfaat yang menggalakkan kemakmuran bersama. - DagangNews.com








