McDonald’s Malaysia agih 500,000 baucar hidangan percuma sempena sambutan Hari Guru | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

McDonald’s Malaysia agih 500,000 baucar hidangan percuma sempena sambutan Hari Guru

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Mei - McDonald’s Malaysia mengagihkan baucar hidangan percuma kepada guru di seluruh negara sebagai tanda penghargaan buat sumbangan mereka kepada masyarakat. 

 

Sempena sambutan Hari Guru, baucar tersebut akan diedarkan kepada 500,000 guru yang bertugas di sekolah kebangsaan dan sekolah bantuan kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan. 

 

Baucar hidangan percuma itu boleh ditebus di mana-mana restoran McDonald's berdekatan dari 16 Mei hingga 30 Jun 2022.

 

Dengan baucar hidangan percuma yang diagihkan, guru boleh menikmati hidangan Spicy Sesame McChicken atau Sausage McMuffin with Egg di mana-mana restoran McDonald’s di seluruh negara.

 

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, guru memainkan peranan penting memotivasikan murid untuk memenuhi potensi diri mereka. 

 

"Ini amat penting memandangkan murid-murid adalah generasi pemimpin masa depan negara. Selain dari tanda penghargaan kepada barisan pendidik negara, pemberian baucar ini adalah sebahagian daripada komitmen McDonald's untuk menyumbang kepada masyarakat di sekitar lokasi operasinya.

 

“McDonald’s Malaysia berbesar hati membelanja guru dengan hidangan McDonald’s sempena Hari Guru. Kami berharap dapat memainkan peranan kami memotivasikan golongan pendidik untuk terus membimbing dan mendidik generasi muda di negara kita untuk memenuhi potensi diri mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

mcd

 

 

Pada 14 Mei lalu, McDonald’s Malaysia telah menyampaikan wang tunai RM5,000 dan trofi kepada 25 pemenang Anugerah Guru Inspirasi (AGI) McDonald’s 2022. 

 

AGI McDonald’s merupakan anugerah tahunan yang mengajak rakyat Malaysia mencalonkan ‘Cikgu Luar Biasa’ yang menjalankan tanggungjawab mereka melebihi tugas-tugas hakiki untuk mendidik murid secara menyeluruh.

 

Tahun ini, McDonald’s Malaysia telah menerima lebih daripada 5,600 pencalonan awam untuk AGI 2022, yang kini memasuki tahun keenam penganjurannya. 

 

Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, AGI McDonald’s telah menganugerahkan 131 guru yang melakukan yang terbaik untuk mendidik dan membimbing sumber paling berharga negara, 'anak-anak kita' dalam perjalanan pembelajaran mereka.

 

McDonald’s juga kini sedang menganjurkan parti Hari Guru di semua restorannya di seluruh negara dan berlanjutan sehingga 30 Jun 2022. - DagangNews.com