M&C Saatchi Malaysia, Invictus Blue dilantik Agensi Rekod Pemasaran MDEC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

M&C Saatchi Malaysia, Invictus Blue dilantik Agensi Rekod Pemasaran MDEC

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb - Agensi peneraju ekonomi digital, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) hari ini mengumumkan M&C Saatchi Malaysia dan Invictus Blue telah dipilih sebagai Agensi Rekod Pemasaran (AOR) MDEC bagi tempoh 12 bulan.

 

MDEC memaklumkan, pelantikan kedua-dua agensi berkenaan adalah hasil daripada proses tender terbuka untuk perkhidmatan periklanan (media dan kreatif) yang telah dilaksanakan oleh MDEC pada Jun tahun lepas. 

 

Jelasnya, semua permohonan telah melalui proses penilaian dan keputusan tender diselesaikan baru-baru ini, di mana M&C Saatchi Malaysia dianugerahkan AOR untuk segmen rakyat dan perniagaan, manakala Invictus Blue bagi segmen pelaburan digital MDEC.

 

"Agensi berkenaan akan mengetuai pelaksanaan kreatif semua kempen pemasaran yang dirancang serta menyediakan pelan strategik perancangan dan pembelian media untuk mempromosikan program serta inisiatif MDEC dalam kedua-dua segmen tersebut. 

 

"M&C Saatchi Malaysia akan membantu dalam pelaksanaan program MDEC di bawah kemahiran dan pekerjaan digital serta teras ekosistem penerimaan digital, yang secara khusus menyasarkan segmen rakyat dan perniagaan. 

 

"Program ini menyasarkan untuk membangunkan kemahiran digital rakyat Malaysia, meningkatkan serta melatih semula bakat tempatan dan memacu penerimaan digital dalam kalangan rakyat serta perniagaan," menurut kenyataan tersebut.

 

Sementara itu, MDEC berkata, Invictus Blue akan menjalankan kempen pemasaran secara menyeluruh teras pelaburan digital MDEC, yang menyasarkan untuk meletakkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital ASEAN serta menarik dan membangunkan keyakinan dalam kalangan pelabur tempatan dan antarabangsa. 

 

"MDEC gembira dengan pelantikan M&C Saatchi Malaysia dan Invictus Blue berikutan ini merupakan antara usaha ke arah ekonomi digital progresif dan dipacu digital. 

 

"Kedua-dua agensi berkenaan akan memainkan peranan penting dalam memastikan program dan inisiatif MDEC berjaya dikomunikasikan kepada rakyat, perniagaan dan pelabur," katanya. 

 

Tambah kenyataan itu, agensi-agensi berkenaan telah dianugerahkan AOR menerusi proses tender terbuka dan ini menjadi bukti komitmen MDEC ke arah standard integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik dalam pengendalian operasinya. 

 

"MDEC akan sentiasa berusaha untuk memutuskan rantaian rasuah dan berharap untuk bekerjasama dengan lebih banyak entiti melalui proses yang adil dan terbuka," katanya. - DagangNews.com