Maybank terima penarafan AA oleh MSCI ESG Ratings | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank terima penarafan AA oleh MSCI ESG Ratings

KUALA LUMPUR 18 Julai - Maybank menerima penarafan AA oleh MSCI ESG Ratings untuk tahun kedua berturut-turut, sekali gus meletakkan kumpulan perbankan itu antara 36% teratas daripada 189 bank pelbagai jenis yang dinilai di peringkat global berdasarkan Indeks MSCI ACWI.

 

Penarafan tersebut berdasarkan penilaian terhadap dasar dan amalan kemampanan Maybank yang merangkumi tujuh bidang luas iaitu Pembiayaan Kesan Alam Sekitar, Perlindungan Kewangan Pengguna, Pembangunan Modal Insan, Akses kepada Kewangan, Privasi & Keselamatan Data, Tadbir Urus Korporat dan Tingkah Laku Korporat.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, Maybank berasa bangga usaha kemampanannya terus diiktiraf di peringkat global terutamanya dengan penarafan ini oleh MSCI ESG Ratings untuk tahun kedua berturut-turut.

 

“Komitmen kemampanan kami adalah sebahagian daripada perjalanan kami untuk merealisasikan cita-cita menjadi peneraju ESG serantau, dan kami terus mempercepatkan pelbagai usaha melalui Pelan M25 demi membantu memacu perubahan positif dalam pasaran operasi Maybank,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

 

Khairussaleh Ramli
Khairussaleh Ramli

 

 

Berdasarkan Indeks MSCI ACWI (All Country World Index), hanya 4% daripadanya mencapai penarafan tertinggi AAA. Penilaian MSCI ESG Ratings ini terdiri daripada CCC, B, BB, BBB, A, AA, hingga AAA.

 

Laporan penarafan itu antara lain menyatakan bahawa skor AA didorong oleh amalan perlindungan pengguna Maybank yang kukuh termasuk kewujudan talian aduan dan pilihan pengubahsuaian pinjaman untuk pelanggan yang menghadapi masalah kewangan. 

 

Ia turut menambah bahawa keberkesanan mekanisme aduan pelanggan kumpulan adalah antara yang terbaik dalam kalangan rakan industri, mengukuhkan lagi kedudukan Perlindungan Kewangan Pelanggannya malah mendahului lima rakan setara teratas globalnya.

 

Khairussaleh berkata, Maybank telah mencapai kemajuan yang baik dalam empat komitmen Kemampanan M25, setelah mencapai sasaran 2022 untuk mengurangkan 40% pelepasan Skop 1 dan 2 berbanding garis dasar 2019. 

 

"Ini dicapai dengan permulaan Sijil Tenaga Diperbaharui Malaysia (mRECs) pada Januari 2022 dan pelancaran pelbagai program kecekapan tenaga tahun ini di pasaran tempatan seperti Malaysia dan Singapura. 

 

"Kumpulan telah komited untuk mencapai kedudukan neutral karbon untuk pelepasan skop 1 dan 2 menjelang 2030, dan kedudukan setara karbon sifar bersih menjelang 2050," tambahnya. 

 

Maybank kini sedang memuktamadkan Projek Ketahanan Iklim dalaman untuk mewujudkan data garis dasar pelepasan yang dibiayai mengikut kelas aset dan geografi, membolehkannya membentuk strategi peralihan portfolio perniagaan dengan menyasarkan kawasan pengurangan yang betul. 

 

Projek itu adalah selaras dengan piawaian ‘Partnership for Carbon Accounting Financials’, yang membantu institusi kewangan menilai dan mendedahkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) melalui perakaunan GHG. 

 

Selain komitmen pelepasan karbonnya, tiga lagi komitmen Kemampanan M25 Maybank ialah untuk Menyalurkan RM50 bilion dalam Pembiayaan Mampan menjelang 2025, Meningkatkan kehidupan 1 juta isi rumah di seluruh ASEAN menjelang 2025, dan Mencapai 1 juta jam setahun dalam kemampanan dan Menyampaikan 1 ribu hasil penting berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2025. - DagangNews.com