Maybank taja biasiswa bernilai RM4 juta kepada 61 pelajar kurang berkemampuan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank taja biasiswa bernilai RM4 juta kepada 61 pelajar kurang berkemampuan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Sept - Maybank telah menganugerahkan kepada seramai 61 pelajar Malaysia yang layak daripada keluarga berpendapatan rendah dengan biasiswa penuh bernilai RM4 juta untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama di universiti tempatan dan luar negara terkemuka tahun ini.

 

Program di bawah Anugerah Biasiswa Kumpulan Maybank 2022 itu bukan sahaja bertujuan untuk menyokong pembangunan modal insan negara tetapi juga membolehkan pelajar yang layak untuk mengejar impian mereka. 

 

Objektif utama program adalah untuk menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar yang layak dan berpotensi tinggi, mewujudkan saluran peringkat kemasukan yang kukuh yang terdiri daripada graduan baharu daripada universiti peringkat atasan serta mengukuhkan reputasi Maybank sebagai majikan bakat terbaik, khususnya dalam kalangan graduan baharu.

 

61 biasiswa tahun ini adalah di atas 71 pemegang biasiswa Maybank sedia ada yang masih melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi di bawah program ini. Jumlah kos biasiswa untuk 132 pelajar ini adalah lebih kurang RM7.2 juta tahun ini.

 

Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, sejak lima dekad yang lalu, lebih daripada 2,000 pelajar telah mendapat manfaat daripada program biasiswa Maybank, memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan organisasi serta negara.

 

“Kami kekal komited untuk terus membangunkan dan memperkayakan kumpulan bakat berpotensi dengan menyediakan tajaan kepada pelajar Malaysia yang layak, terutamanya mereka dalam kategori B40, untuk melanjutkan pengajian tinggi yang berkualiti di universiti awam terkemuka di negara ini, serta di Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Program biasiswa Maybank yang ditadbir Yayasan Maybank, adalah sejajar dengan komitmen utama kemampanan Maybank yang mana kumpulan menyasarkan untuk ‘memperbaiki kehidupan 1 juta isi rumah di seluruh ASEAN menjelang tahun 2025’. 

 

 

maybank
Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa

 

 

Ia juga memenuhi Matlamat Pembangunan Kelestarian (SDG) 4, 10 dan 17 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang menggalakkan pendidikan berkualiti dan sama rata.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Datuk Nora Abd Manaf berkata, walaupun menghadapi cabaran disebabkan pandemik, pihaknya tetap fokus dan terus menyumbang kepada pertumbuhan serta pembangunan komunitinya. 

 

 

maybank
Datuk Nora Abd Manaf

 

 

"Kami percaya bahawa biasiswa untuk pendidikan tertiari kekal sebagai sebahagian daripada eko-sistem dan sejajar dengan misi kami untuk Menginsankan Perkhidmatan Kewangan, kami merasakan ia menjadi tanggungjawab kami untuk terus menyokong dan menggalakkan bakat muda yang cemerlang di negara ini yang menghadapi masalah kewangan," katanya.

 

Anugerah Biasiswa Kumpulan Maybank merangkumi sokongan kewangan, termasuk yuran pengajian, elaun sara hidup, penginapan, elaun buku, perlindungan insurans dan komputer riba bertujuan untuk membangunkan bakat secara professional melalui kerjaya yang memberikan manfaat bersama kumpulan. 

 

Program pembangunan kerjaya termasuk program pelatih, tugasan perniagaan serta bengkel pembangunan peribadi dan kepimpinan. - DagangNews.com