Maybank lanjutkan pembiayaan kepada anak syarikat PowerChina bagi pembinaan ladang kuasa angin terbesar ASEAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank lanjutkan pembiayaan kepada anak syarikat PowerChina bagi pembinaan ladang kuasa angin terbesar ASEAN

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Sept - Maybank melanjutkan pembiayaan kepada anak syarikat Power Construction Corporation of China (PowerChina), Sinohydro bagi projek EPC (Kejuruteraan, Perolehan & Pembinaan) bagi pembinaan ladang kuasa angin luar pesisir bagi Projek Kuasa Angin Ca Mau 1 di wilayah selatan Vietnam.

 

Maybank dalam satu kenyataan berkata, jumlah kapasiti terpasang Ca Mau 1 dijangka 350 MW dan projek itu dibahagikan kepada empat kawasan iaitu 1A, 1B, 1C dan 1D.

 

Katanya, apabila siap, ia akan menjadi ladang kuasa angin luar pesisir terbesar di ASEAN.

 

Pada peringkat pembinaan 1A dan 1B, Maybank akan menyediakan AS$38.2 juta bagi diskaun bil eksport di bawah surat kredit.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Global di Maybank, Datuk John Chong berkata, perdagangan dan pelaburan rentas sempadan antara China dan Vietnam terus meningkat.

 

"Pada 2023, China merupakan pelabur langsung asing dan rakan dagangan utama Vietnam, menyumbang 25% daripada jumlah pelaburan dan perdagangan berdaftar Vietnam.

 

"Maybank mempunyai kedudukan yang strategik bagi memudahkan transaksi ini melalui penawaran dan kehadiran di China dan kesemua 10 pasaran ASEAN.

 

hhh
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Global di Maybank, Datuk John Chong

 

 

“Bank ini telah melancarkan Rangka Kerja Kewangan Peralihan, yang pertama seumpamanya di ASEAN bagi membantu peralihan pelanggan menjadi industri hijau.

 

"Kepimpinan serantau kami dalam kemampanan adalah sejajar dengan misi memanusiakan perkhidmatan kewangan," ujarnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif & Ketua Negara Maybank Greater China, Felino James Marcelo berkata, perusahaan milik negara dan swasta China sedang menumpukan ke pasaran ASEAN bagi mencari peluang pertumbuhan baharu memandangkan aliran perdagangan dan pelaburan intra-Asia terus berkembang.

 

"Dalam peluang ini, kami melihat permintaan untuk projek tenaga hijau ketika pelabur berusaha untuk mewujudkan aset infrastruktur yang mampan di negara ASEAN," jelas beliau.

 

Secara kumulatif dari 2021 hingga akhir Jun 2024, Kumpulan Maybank telah mengagihkan RM83.2 bilion (AS$19.2 bilion), melebihi sasaran 2025 untuk pengagihan RM80 bilion (AS$18.4 bilion) dalam kewangan mampan.- DagangNews.com